KANE meledak gol ke-54 di peringkat antarabangsa ketika England mengalahkan Itali 2-1 di kelayakan Euro 24. FOTO AFP
KANE meledak gol ke-54 di peringkat antarabangsa ketika England mengalahkan Itali 2-1 di kelayakan Euro 24. FOTO AFP
AFP

Naples: Harry Kane berjaya memecahkan rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman dengan meledak gol antarabangsa ke-54 ketika England menang tipis 2-1 ke atas Itali dalam pembukaan kempen Euro 24.

Pasukan bimbingan Gareth Southgate sudah pun mendahului melalui Declan Rice sebelum ketua pasukan, Kane meledak jaringan pada minit ke-44 menerusi sepakan penalti sekali gus mengatasi rekod Wayne Rooney dan membantu England mencatat kemenangan ke atas penyandang juara dalam aksi Kumpulan C di Naples.

"Ia sangat bermakna. Saya begitu teruja untuk menyarung jersi England dan kembali beraksi untuk memulakan kempen Euro yang berlangsung tahun depan," kata Kane.

Mateo Retegui menjaringkan gol Itali ketika penyerang kelahiran Argentina itu membuat penampilan sulung untuk negara baharunya 10 minit selepas rehat.

Bagaimanapun, tekanan di lewat permainan dan Luke Shaw dilayangkan kad merah, ia tidak dapat membantu Azzurri untuk meraih sebarang mata dalam aksi ulangan final Euro 2020 itu.

Kane yang juga penyerang Tottenham terikat dengan Rooney 53 gol selepas gagal menyempurnakan penalti ketika aksi suku akhir Piala Dunia menentang Perancis Disember lalu.

Bagaimanapun, dia tidak melakukan sebarang kesilapan daripada peluang yang sama kali ini di Stadio Diego Armando Maradona selepas bola terkena tangan Giovanni Di Lorenzo hasil semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).

Southgate berkata, England perlu bermula dengan menumpaskan pasukan gergasi jika mereka mahu menamatkan kemarau kejuaraan kejohanan utama selama enam dekad dan menang ke atas Itali di tempat lawan buat kali pertama sejak 1961 adalah petanda positif bagi kempen kelayakan itu.

Bagi Itali, ia adalah malam yang mengecewakan kerana persembahan buruk pada separuh masa pertama menyebabkan Azzurri terlepas peluang untuk memberikan England satu lagi kekecewaan selepas memenangi Euro 2020.

Usaha bersemangat selepas rehat di mana mereka mengehadkan penguasaan England menunjukkan pasukan bimbingan Roberto Mancini harus menjadi salah satu daripada dua pasukan yang layak daripada lima negara yang turut menampilkan Ukraine, Macedonia Utara dan Malta.

"Saya melihat pasukan yang lebih sesuai di luar sana pada separuh masa kedua dan ia memberi petanda baik untuk masa depan," kata Mancini.

"Kami mungkin bermula dengan langkah yang salah tetapi kami berharap ia akan melalui perjalanan lebih lancar."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mac 2023 @ 6:46 AM