REAKSI kecewa barisan pemain England. FOTO Reuters
REAKSI kecewa barisan pemain England. FOTO Reuters
Reuters

Wolverhampton: Kegagalan England untuk meraih kemenangan pada kempen Liga Negara-Negara berterusan selepas mereka sekadar seri 0-0 di tempat sendiri bertemu pasukan muda Itali di Stadium Molineux yang hampir kosong, hari ini.

Pertemuan pertama antara kedua-dua pasukan sejak final Euro 2020 di Wembley tahun lalu berlangsung dalam suasana suram apabila hanya 2,000 kanak-kanak dibenarkan hadir ke stadium selepas penonton tidak dibenarkan menyaksikan perlawanan itu oleh Uefa.

Dengan Harry Kane bermula di bangku simpanan sebelum dimasukkan minit ke-65, England kurang ketajaman di bahagian serangan dan cubaan paling hampir mereka dapat menjaringkan gol adalah menerusi rembatan separuh masa pertama Mason Mount yang terkena palang gol.

Raheem Sterling pula mensia-siakan beberapa peluang terbaik pada babak kedua sekali gus menyaksikan England gagal memperoleh kemenangan.

Skuad kendalian Gareth Southgate kini berada di tangga terbawah Kumpulan A3 dengan dua mata daripada tiga perlawanan pembukaan mereka manakala Itali, yang gagal layak ke Piala Dunia, berada di puncak dengan lima mata.

England menerima kunjungan Hungary pada Rabu ini manakala Itali di bawah bimbingan Roberto Mancini akan bertandang ke Jerman.

Ia adalah kali pertama England mengharungi tiga perlawanan tanpa kemenangan sejak Southgate membimbing pasukan dan mereka gagal menjaringkan gol daripada permainan terbuka dalam tiga perlawanan terakhir.

"Kami banyak memperbaiki corak permainan hari ini. Kami mempunyai dua atau tiga peluang yang sangat baik tetapi kekurangan ketajaman di bahagian penyudah.

"Tetapi secara umumnya saya berpuas hati dengan persembahan pasukan. Saya fikir pada separuh masa kedua kami adalah pasukan yang lebih baik," kata Southgate.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Jun 2022 @ 7:08 AM