STERLING (tengah) antara tonggak utama skuad muda Southgate. — FOTO Getty Images
STERLING (tengah) antara tonggak utama skuad muda Southgate. — FOTO Getty Images
AFP

ENGLAND dan Itali semakin hampir layak ke Euro 2020 ketika dua skuad muda berbakat itu mengintai satu kemenangan yang boleh memastikan tempat mereka ke pusingan akhir dengan berbaki beberapa perlawanan.

Mereka dua daripada lima negara yang boleh layak ke kejohanan pada musim panas depan susulan aksi minggu ini bermula awal pagi Jumaat ini. Sepanyol dan dua pencabar Kumpulan I, Belgium serta Russia turut boleh menempah tiket awal.

Dengan dua pasukan layak daripada setiap 10 kumpulan, England hanya memerlukan satu kemenangan di Republik Czech awal pagi Sabtu ini untuk mara dari Kumpulan A selepas catatan sempurna empat kemenangan dalam empat aksi yang meletakkan anak buah Gareth Southgate empat mata di depan pasukan tangga ketiga Kosovo, yang beraksi lebih satu perlawanan.

Southgate membina pasukannya selepas mengemudi England layak ke separuh akhir Piala Dunia 2018, dengan skuadnya meledak 19 gol dalam kempen kelayakan yang dominan.

SANCHO (kanan) dan Trent Alexander-Arnold gigih berlatih menjelang aksi menentang Republik Czech. — FOTO Reuters
SANCHO (kanan) dan Trent Alexander-Arnold gigih berlatih menjelang aksi menentang Republik Czech. — FOTO Reuters

Pengurus England itu dibantu dengan kecemerlangan Raheem Sterling, 24, yang selepas menjaringkan empat gol dalam 47 penampilan pertama bersama England, sudah menjaringkan enam gol dalam enam aksi terakhirnya.

Southgate juga bertuah dengan kemunculan pemain muda seperti pemain West Ham, Declan Rice, 20, dan pemain berusia 19 tahun Jadon Sancho, yang meraih gol pertamanya buat England ketika menang 5-3 ke atas Kosovo sebelum ini dan pemain tonggak di Borussia Dortmund.

Trio muda Chelsea, Mason Mount, Fikayo Tomori dan Tammy Abraham pemain terbaharu dipanggil Southgate susulan persembahan mengagumkan di peringkat kelab, dengan Mount dan penjaring terbanyak bersama Liga Perdana, Abraham antara pemain yang menyerlah pada awal musim.

Sementara itu Roberto Mancini meneruskan usaha membina semula Itali dengan memenangi semua enam perlawanan pertama dalam Kumpulan J. Pasukan muda Azzurri berpeluang menempah tiket menentang Greece, awal pagi Ahad ini.

SKUAD muda Itali kendalian Mancini kelihatan lebih mantap. — FOTO Getty Images
SKUAD muda Itali kendalian Mancini kelihatan lebih mantap. — FOTO Getty Images

Mereka perlu mengalahkan Greece di Stadio Olimpico, Rome dan berharap pasukan tangga ketiga Armenia gagal mengalahkan pasukan tercorot Liechtenstein, yang melepaskan 19 gol setakat ini.

Apa pun, Itali semakin hampir memastikan tempat di Euro 2020 kerana mereka mendahului sembilan mata di depan Armenia dengan baki empat aksi. Jika mereka gagal kali ini, mereka mempunyai peluang kedua apabila bertandang ke Liechtenstein minggu depan.

Bekas bos Inter Milan dan Manchester City, Mancini mengemudi skuad yang gagal ke Piala Dunia dan menaruh kepercayaan kepada bakat muda seperti pemain tengah Inter Milan, Nicolo Barella, penyerang AS Roma, Nicolo Zaniolo dan penjaga gol AC Milan, Gianluigi Donnarumma.

Zaniolo, 20, kembali disenaraikan selepas dikenakan tindakan disiplin bersama Moise Kean susulan sikap buruk ketika kejohanan B-21 Eropah di laman sendiri. Seorang lagi pemain muda Inter, Stefano Sensi diketepikan kerana cedera paha ketika kalah 1-2 aksi Serie A di tangan Juventus, Ahad lalu.

PENYERANG Sepanyol, Paco Alcacer (kiri) menyumbat dua gol pada perlawanan terdahulu. — FOTO Getty Images
PENYERANG Sepanyol, Paco Alcacer (kiri) menyumbat dua gol pada perlawanan terdahulu. — FOTO Getty Images

Turut berpeluang layak pada hari pertandingan ketujuh adalah Sepanyol, yang mencipta enam kemenangan berturut-turut dalam Kumpulan F yang sukar di sebalik kekecohan berikutan kematian anak perempuan bekas jurulatih Luis Enrique.

Robert Moreno mengambil alih dan pendahulu kumpulan itu unggul lapan mata di depan pasukan tangga ketiga Romania. Sepanyol perlu menang di Norway dan Kepulauan Faroe untuk memastikan tempat mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Oktober 2019 @ 2:02 PM