KANE meraikan jaringan keduanya untuk England. FOTO REUTERS
KANE meraikan jaringan keduanya untuk England. FOTO REUTERS
AFP

Paris: England mengesahkan tempat mereka ke Euro 2024 selepas Harry Kane menjaringkan dua gol ketika meraih kemenangan 3-1 ke atas Itali di Wembley, manakala Denmark meraih kemenangan ke atas San Marino untuk terus berada di landasan tepat layak ke kejohanan itu.

England di bawah bimbingan Gareth Southgate berjaya membalas dendam kekalahan kepada Itali pada final Euro 2020 di stadium sama yang dimenangi Azzurri menerusi penentuan sepakan penalti.

Itali yang dibimbing Luciano Spalletti pula masih mempunyai banyak kerja yang perlu dilakukan untuk mengelak terlepas beraksi di kejohanan utama buat kali ketiga dalam empat kempen kelayakan.

England menamatkan saingan di tangga teratas Kumpulan C ketika berbaki dua perlawanan dengan kelebihan tiga mata berbanding Ukraine di tempat kedua yang menang 3-1 di Malta, manakala Itali ketinggalan enam mata di belakang.

"Beraksi di kempen kelayakan tidak mudah. Kadang-kadang kami diletakkan harapan tinggi apabila beraksi di satu-satu kejohanan besar tetapi kita sudah lihat sejarah lalu yang ia tidak semudah seperti yang kita dilihat.

"Kami ketinggalan 0-1 dan kekal tenang. Kami tahu kami boleh mendapatkan kemenangan dan kami berjaya melakukannya," kata Kane kepada Channel 4.

England bermula cemerlang namun ketinggalan selepas Gianluca Scamacca menampan masuk hantaran leret Giovanni Di Lorenzo bagi gol sulung antarabangsanya.

Bagaimanapun England menyamakan kedudukan selepas setengah jam apabila Kane mudah menyempurnakan sepakan penalti ke penjuru gol berikutan Jude Bellingham dijatuhkan dalam kotak penalti.

Marcus Rashford kembali meletakkan England di depan minit ke-55 sebelum Kane memastikan kemenangan milik mereka pada minit ke-77 untuk gol ke-61 bersama England.

Itali yang juga juara dunia empat kali akan melayan kunjungan Macedonia Utara sebelum berdepan Ukraine di Leverkusen pada perlawanan terakhir yang sangat penting.

Sementara itu, Denmark yang tewas kepada England pada separuh akhir dua tahun lalu, berjaya mengelak kejutan dengan kemenangan tipis 2-1 di San Marino untuk kekal di tangga kedua Kumpulan H.

Mereka boleh memastikan kemaraan ke pusingan akhir jika menang ke atas pendahulu kumpulan Slovenia pada perlawanan berikutnya bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2023 @ 7:39 AM