PAN-gon ketika ditemui pengamal media pada sesi latihan hari ini. FOTO Bernama
PAN-gon ketika ditemui pengamal media pada sesi latihan hari ini. FOTO Bernama
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon menegaskan pemilihan dua pemain naturalisasi, Paulo Jouse dan Endrick Dos Santos adalah bagi menguatkan posisi tengah menjelang dua perlawanan persahabatan antarabangsa tier 1 menentang Turkmenistan dan Hong Kong di Stadium Sultan Ibrahim, pada Khamis dan 28 Mac ini.

Pan-gon yang ditemui pada sesi latihan pertama skuad kebangsaan di Pusat Latihan Johor Darul Ta'zim (JDT) dekat Padang Seri Gelam berkata, kedua-dua pemain itu amat diperlukan di posisi tengah yang menjadi `enjin' utama bagi melancarkan gerakan dan umpanan apabila beraksi dalam perlawanan sebenar.

"Walaupun Paulo dan Endrick ada kualiti yang saya inginkan terutama untuk menghidupkan jentera tengah tapi saya enggan beri mereka tekanan sebaliknya mahu mereka menjalani latihan seperti biasa dan dari situ saya mencorakkan taktikal permainan bagi membentuk rentak berintensiti tinggi,

"Mereka sudah membuktikan keupayaan apabila beraksi bersama kelab masing-masing yang menyaksikan kelibat mereka banyak membentuk pasukan malah ia juga akan beri impak positif pada skuad kebangsaaan bagi persiapan aksi dua perlawanan persabahatan.

"Apapun saya enggan meletak sasaran tinggi dan perlu bersabar kerana dalam tempoh latihan ini, sudah pasti akan dapat membentuk persefahaman di antara setiap permain yang hadir pada latihan untuk persiapan aksi persahabatan nanti." katanya.

Selain Josue dan Dos Santos, turut tersenarai buat pertama kali menjalani latihan skuad Harimau Selatan adalah Feroz Baharudin, Fayadh Zulkifli Amin, Damien Lee, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dan pemain kacukan Malaysia-Finland, Nooa Laine.

Ditanya mengenai keputusan memanggil Nooa Laine menjalani latihan Pan-gon, mempunyai alasan tersendiri apabila menyatakan pemain yang berpengkalan di kelab, SJK Seinajoki, Liga Finland itu memiliki ciri pemain yang berkualiti apabila kerap memantaunya menerusi rakaman video.

"Dia pemain muda tapi berpengalaman apabila beraksi di divisyen pertama di Finland malah saya lihat pemain itu berpotensi terutama bermain di posisi tengah bertahan dan kekuatan tersendiri apabila kerap beri tekanan terhadap pemain lawan dan kualiti itu yang saya inginkan," kata Pan-gon.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mac 2023 @ 10:21 PM