YEE Fatt ketika sidang media selepas perlawanan Liga Super menentang Selangor FC di Stadium Bandaraya Pulau Pinang. FOTO MIKAIL ONG
YEE Fatt ketika sidang media selepas perlawanan Liga Super menentang Selangor FC di Stadium Bandaraya Pulau Pinang. FOTO MIKAIL ONG
Siti Aminah Mohd


Georgetown: Pengendali Penang FC, Chong Yee Fatt melahirkan rasa bangga dengan semangat juang dan komitmen yang dipamerkan anak buahnya meskipun tewas di tangan Selangor FC, 1-2 pada aksi di Liga Super di Stadium Bandaraya di sini, semalam.

Jurulatih kelahiran Ipoh itu berkata para pemain telah menyajikan persembahan terbaik sejak awal hingga akhir permainan dan menyifatkan perlawanan semalam agak seimbang.

"Ia sesuatu yang saya bangga sejak dua perlawanan lepas...semangat juang, komitmen dan kedua-dua ini patut disemat rapi dalam diri setiap pemain untuk mencapai keputusan yang bagus.

"Jadi saya yakin dalam situasi semasa, kami telah menunjukkan iaitu kami bukanlah nak kata kami terlalu bagus tetapi kami bukanlah teruk sangat dan pemain ada karakter dan saya berharap sedikit masa lagi kami dapat menang," katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Yee Fatt berkata isu penggantungan dan masalah kecederaan sedikit sebanyak mengganggu momentum pasukan berbanding Selangor yang mempunyai kelebihan beberapa hari masa rehat berbanding Penang yang mengharungi pusingan pertama Piala Malaysia, Rabu lalu.

Mengulas perlawanan bertemu Sabah di tempat lawan pada Jumaat ini, Yee Fatt menjangka pasukan kendaliannya akan berdepan dengan satu lagi aksi getir selepas dihukum Selangor semalam.

Beliau turut mengakui berasa tertekan kerana skuad Harimau Kumbang belum melakar kemenangan selepas empat perlawanan Liga Super musim ini termasuk dua di laman sendiri.

"Sayang sekali kami kalah terutamanya bila bermain di laman sendiri dan setakat ini hanya dapat kutip dua mata. Tipu kalau tidak tertekan. Tekanan yang sangat besar sebenarnya.

"Setiap perlawanan di Liga Super tidak mudah apatah lagi bermain di gelanggang lawan. Jadi untuk permainan akan datang saya harap pasukan dapat bertindak lebih tajam untuk mencipta penyudah yang boleh menghasilkan gol kemenangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2023 @ 10:28 AM