PENYOKONG sebelum ini menggesa kedua-dua individu berkenaan ditamatkan perkhidmatan. FOTO DANIAL SAAD
PENYOKONG sebelum ini menggesa kedua-dua individu berkenaan ditamatkan perkhidmatan. FOTO DANIAL SAAD
BERNAMA

Georgetown: Penang FC mengambil keputusan menamatkan khidmat Pengarah Teknikal Kelab, Kamal Kalid dan Pengurus Pasukan Liga Super Penang FC, Ong Eng Hua serta-merta berikutan prestasi hambar pasukan Harimau Kumbang dalam saingan Liga Super musim 2023.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi berkata keputusan itu dibuat oleh Pengurusan Tertinggi Penang FC selepas mengambil maklum dan berasa amat dukacita dengan prestasi hambar pasukan senior Penang FC dalam kancah saingan Liga Super musim ini.

Katanya, susulan daripada itu, Ketua Jurulatih pasukan Liga Super yang baharu, Chong Yee Fatt akan juga memainkan peranan sebagai pengurus pasukan untuk masa akan datang.

Daniel berkata selain prestasi hambar dalam saingan Liga Super, pengurusan Penang FC terpaksa mengambil langkah drastik berikutan kegagalan skuad senior Harimau Kumbang itu melangkah ke pusingan seterusnya dalam kempen Piala Malaysia, baru-baru ini.

"Pihak pengurusan juga sedar bahawa langkah-langkah proaktif perlu diambil untuk kembali bangkit daripada situasi ini. Kamal dan Eng Hua tidak lagi terbabit dalam apa sahaja urusan kelab dan pasukan selepas ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Daniel berkata Penang FC ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka di atas khidmat yang diberikan sepanjang mereka bersama kelab dan pasukan.

Katanya, susulan daripada penamatan perkhidmatan itu, ia akan memberi tanggungjawab penuh kepada Yee Fatt untuk mengendalikan pasukan Liga Super Penang FC.

"Langkah pembaharuan menyeluruh itu adalah untuk membawa perubahan drastik dalam tadbir urus dan penambahbaikan kepada pasukan bagi memenuhi harapan dan aspirasi para penyokong dan peminat pasukan Penang FC," katanya.

Penang FC kini menduduki tangga ke-10 dalam Liga Super dengan mengumpul 19 mata selepas 21 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2023 @ 8:05 PM