PEMAIN Penang FC, Rahmat Makasuf  (kiri) diasak pemain NSFC pada perlawanan Liga Super 2023 di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, malam tadi. FOTO MIKAIL ONG
PEMAIN Penang FC, Rahmat Makasuf (kiri) diasak pemain NSFC pada perlawanan Liga Super 2023 di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, malam tadi. FOTO MIKAIL ONG
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Penang FC (PFC) dilihat banyak melakukan kesilapan sehingga terlepas peluang mencetak gol ketika seri tanpa jaringan dengan Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Bandaraya, malam tadi.

Pengendalinya, Chong Yee Fatt berkata, anak buahnya berkemungkinan bermain dalam keadaan tertekan untuk meraih kemenangan di laman sendiri, biarpun mereka tampak lebih menguasai perlawanan.

"Mereka turun dengan semangat berkobar-kobar untuk mengutip tiga mata, maklumlah ini kali pertama kami bermain di laman sendiri pada musim ini.

"Di bawah situasi itu, kami banyak kali hilang bola, buat banyak kesilapan dan untuk malam ini, saya tidak begitu gembira dengan keputusan ini.

"Pada masa sama, saya melihat ini bukan permainan normal mereka dan berharap perkara sebegini tidak akan berulang lagi," katanya selepas perlawanan.

Keputusan seri itu menyaksikan PFC dan NSFC menduduki tangga keenam dan ketujuh carta Liga Super selepas dua perlawanan.

Bagaimanapun, Yee Fatt memuji beberapa pemain antaranya gandingan Nik Akif dan Giovane Gomes yang dimasukkan pada babak kedua perlawanan kerana memainkan peranan agak baik di posisi tengah.

Kelmarin, PFC dalam satu kenyataan mengumumkan Yee Fatt sebagai Ketua Jurulatih bagi mengharungi Liga Malaysia 2023 dengan dibantu Manzoor Azwira Abd Wahid sebagai Penolong Ketua Jurulatih bersama Md Noor Derus.

Ia berikutan rayuan PFC untuk membolehkan Manzoor Azwira mengemudi pasukan secara interim sehingga beliau mendapat Lesen Pro Diploma AFC tidak dipertimbangkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2023 @ 8:38 PM