PEMAIN TFC,  meraikan jaringan gol pertamanya musim ini pada perlawanan Liga Super menentang PDRM FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO GHAZALI KORI
PEMAIN TFC, meraikan jaringan gol pertamanya musim ini pada perlawanan Liga Super menentang PDRM FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) akhirnya berjaya melakar kemenangan pertama musim ini hasil kemenangan tipis 1-0 mengatasi PDRM FC pada aksi keempat Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di Gong Badak, malam ini.

Kemenangan itu hadir selepas skuad pelawat kendalian Azzmi Ab Aziz terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain pada penghujung babak pertama apabila penjaga gol, Mohamad Ramdhan Ab Hamid dilayangkan kad merah oleh pengadil, M Jeevanathan selepas mengasari Jordan Mintah di luar kotak penalti.

Terdahulu pada aksi separuh masa pertama, skuad Sang Saka Biru terlebih dahulu mengancam kubu tuan rumah menerusi tandukan Dzulfahmi Abdul Hadi hasil hantaran kapten, Amir Saiful Badeli pada minit keenam, namun mudah dibaca penjaga gol, Rahadiazli Rahalim.

TFC yang melakukan rombakan pemain dengan menyenaraikan penyerang, Mintah dan Habib Haroon bagi menggantikan Ivan Mamut serta Domogoj Pusic, mendapat peluang pertama pada minit ke-14, bagaimanapun Mintah gagal menyudahkan peluang itu.

Pada minit ke-24, pelawat sekali lagi berpeluang untuk mendahului hasil sepakan sudut Marcus Macauley, namun tandukan pemain pertahanan, Muhamad Alif Najmi Shaaini sedikit tersasar.

Pada minit ke-32, skuad Penyu sepatutnya sudah di depan menerusi rembatan Mintah hasil hantaran Sony Norde, tapi sepakan pemain kelahiran Ghana itu gagal menerjah jaring selepas ditampan keluar penjaga gol.

Empat minit berselang, giliran kapten TFC, Muhamad Shahrul Nizam Ros Hasni mendapat peluang keemasan mencetak namanya sebagai penjaring, tapi percubaannya terkena pertahanan pelawat sebelum singgah di palang gol.

Pada masa kecederaan babak pertama, malang menimpa Mohamad Ramdhan selepas diperintah keluar padang oleh pengadil kerana mengasari Mintah membuatkan jurulatih PDRM FC mengeluarkan pemain tengah, Kyaw Min Oo untuk memasukkan penjaga gol gantian, Willfred Jabun.

Beraksi dengan sepuluh pemain pada babak kedua tidak melemahkan pemain pelawat yang kental bertahan mengekang asakan bertali arus tuan rumah dengan penyerang skuad Penyu dilihat buntu menjaringkan gol.

Bagaimanapun pada minit ke-76, pintu gol skuad The Cops akhirnya bocor juga selepas TFC berjaya membuka 'akaun' jaringan pertamanya pada musim ini melalui jaringan pemain pertahanan kelahiran Uzbekistan, Sardor Qulmatov hasil sepakan sudut pemain gantian Hairiey Hakim untuk pasukannya merakam kemenangan sulung 1-0.

Dengan kemenangan itu, skuad kendalian Tomislav Steinbrukner yang sebelum ini berada di tangga tercorot, mendaki di tangga keenam manakala PDRM FC ketujuh dengan masing-masing mengutip empat mata.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2023 @ 11:12 PM