MINTAH (kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. FOTO GHAZALI KORI
MINTAH (kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) meraih kemenangan keempat dalam kancah Liga Super musim ini selepas membenam Kuching City FC (KCFC), 2-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak, sebentar tadi.

Dua jaringan penyerang, Jordan Mintah memastikan skuad kendalian Tomislav Steinbruckner naik satu anak tangga di kedudukan kelima liga dengan mengutip 13 mata hasil lapan perlawanan manakala skuad KCFC kendalian Irfan Bakti Abu Salim kekal di tangga ke-12 dengan empat mata.

Skuad Penyu terlebih dahulu mencemaskan kubu pelawat menerusi sepakan percuma Ivan Mamut pada minit ke-13 yang ditepis keluar penjaga gol import lawan, Julian Schwarzer.

Pada minit ke-18, TFC dihadiahkan sepakan penalti selepas Muhammad Azam Azmi Murad dikasari Aylton Ferreira, bagaimanapun sepakan diambil kapten, Habib Haroon terkena tiang di sebelah kanan gol.

Usaha berterusan tuan rumah akhirnya membuahkan hasil apabila Mintah yang tidak dikawal melakukan rembatan kencang dalam kotak penalti hasil hantaran lintang Adisak Kraisorn pada minit ke-22 untuk jaringan pertama TFC.

Pada minit ke-34, Mamut hampir meletakkan namanya sebagai penjaring kedua TFC, namun rembatan derasnya dari luar kotak penalti terkena tiang gol.

Sepanjang babak pertama, hanya satu percubaan tepat dimiliki skuad The Cats menerusi Mohamad Amirul Shafik Che Som pada minit ke-20, namun mudah dihalang penjaga gol TFC, Mohd Suhaimi Hussin untuk kekal babak pertama 1-0 memihak kepada TFC.

Bersambung babak kedua, Irfan Bakti memasukkan dua penyerang termasuk pemain kebangsaan Liberia, Abu Kamara dan Wan Mohd Faiz Wan Sulaiman bagi memperkuatkan lagi jentera serangan.

Sebaliknya hasil serangan balas, Mintah yang mendapat umpanan Habib menghadiahkan gol kedua pasukan dan peribadi pada minit ke-52 dan kedudukan 2-0 kekal hingga wisel penamat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2023 @ 12:15 AM