ANTARA aksi TFC II dengan Kelantan FC. FOTO Bernama
ANTARA aksi TFC II dengan Kelantan FC. FOTO Bernama
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC II (TFC II) 'menangis' di laman sendiri selepas tumpas 0-1 kepada Kelantan FC pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.

Bagaimanapun kemenangan skuad Kijang Emas itu gagal merubah kedudukan dalam carta liga apabila kekal menghuni di tangga kedua di belakang pendahulu, Johor Darul Ta'zim II (JDT II) walaupun berkongsi 18 mata.

Terdahulu skuad kendalian Badrul Afzan Razali yang mahu meneruskan rentak kemenangan bermula garang dengan melakukan asakan awal menerusi 'ayam tambatannya', Jordan Mintah, namun berjaya dipatahkan pertahanan lawan.

Ketika The Turtles kerap mengasak kubu pelawat, skuad kendalian Rezal Zambery Yahya berjaya melakukan kejutan apabila mendahului tuan rumah menerusi jaringan kapten, Nurshamil Abd Ghani pada minit ke-29.

Jaringan itu berpunca dari hantaran lintang penyerang kelahiran Indonesia, Natanael Siringo Ringo sebelum pemain kelahiran Melaka itu berjaya melakukan rembatan kencang dalam kotak penalti yang gagal ditepis keluar penjaga gol, Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin.

Beraksi dalam keadaan padang basah akibat hujan tidak menjejaskan corak permainan kedua-dua pasukan, tiga minit berselang, pelawat hampir menambah jaringan kedua menerusi tandukan pemain tengah, Syed Sobri Syed Mohd, bagaimanapun penjaga gol sudah bersedia menepis keluar percubaan itu.

Malang buat skuad TFC II apabila pertahanan importnya, Argzim Redzovic di perintah keluar padang oleh pengadil, Muhammad Khairulsyahmi Ahmad Khalidi pada minit ke-36 selepas mengasari Natanael.

Bersambung babak kedua, pelawat terus mengasak ke kubu tuan rumah untuk menambah jaringan, namun dua percubaan tepat menerusi penyerang kelahiran Brazil, Guylherme Brizolara pada minit ke-53 dan Muhammad Farhan Roslan tiga minit berselang berjaya digagalkan penjaga gol.

Pada minit ke-70, tuan rumah mendapat sepakan percuma berdekatan kotak penalti yang diambil Mintah, tapi bola sepakan pemain kelahiran Ghana itu gagal menerjah jaring gol.

Begitu juga peluang keemasan dimiliki pemain itu pada minit ke-82 hasil hantaran lintang pemain gantian, Muhammad Muslihuddin Atiq Mat Zaid berjaya ditepis keluar penjaga gol, Nik Mohd Amin Ahmad.

Kedudukan 1-0 itu kekal hingga wisel penamat ditiupkan pengadil.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2022 @ 11:03 PM