PEMAIN TFC Mohd Azam Azmi Murad (kiri) mengasak pemain JDT  Juan Gallego di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO Ghazali Kori
PEMAIN TFC Mohd Azam Azmi Murad (kiri) mengasak pemain JDT Juan Gallego di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) gagal membalas dendam kekalahan aksi pusingan pertama selepas tumpas 1-3 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi dicemari dengan insiden dua kad merah yang dilayangkan kepada pemain tuan rumah.

Dengan kemenangan itu, gergasi Liga Malaysia (Liga M) terbabit gah di persada Liga Super apabila mengekalkan rekod tanpa kalah selepas 14 perlawanan dengan mengumpul 42 mata manakala TFC kekal di tangga ketujuh dengan 20 mata.

Pada perlawanan berintensiti tinggi itu, skuad kendalian Esteban Solari terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi sepakan gunting penyerang berbisanya, Fernando Forestieri pada minit ke-20 untuk pasukannya mendahului 1-0.

Seminit berselang, penyerang muda meningkat naik skuad Penyu, Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob mendapat peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan, namun sepakannya melambung tinggi melepasi palang gol.

Aksi seimbang disajikan kedua-dua pasukan yang mengamalkan corak permainan menyerang menggamatkan hampir 11,000 penonton.

Usaha berterusan pasukan tuan rumah untuk mencari gol penyamaan akhirnya berhasil apabila sepakan deras Sony Norde menerusi sepakan percuma dari jarak kira-kira 20 meter pada minit ke-28 menerjah jaring tanpa sempat ditepis penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed untuk mengikat kedudukan 1-1.

Jaringan pemain kelahiran Haiti itu adalah bolos kedua buat pasukan Harimau Selatan itu selepas kali pertama ketika menumpaskan Kelantan FC 5-1 pada aksi pusingan pertama yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Ketika babak pertama dilihat berakhir dengan kedudukan 1-1, skuad pelawat dihadiahkan sepakan penalti selepas Arif Aiman Mohd Hanapi yang terlepas peluang mencetak nama sebagai penjaring gol pada minit ke-38 dijatuhkan Norde pada masa kecederaan.

Sepakan penalti yang diambil penjaring terbanyaknya, Bergson Da Silva berjaya menewaskan penjaga gol, Mohd Suhaimi Husin untuk pasukannya mendahului 2-1 sebelum menuju ke bilik persalinan.

Pada minit ke-52, skuad kendalian Tomislav Steinbruckner terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain selepas pertahanan import, Argzim Redzovic diperintahkan keluar padang selepas mengumpul dua kad kuning kerana mengasari pemain lawan.

Bagi menambah sengat pasukan, Steinbruckner memasukkan empat tenaga baharu, Safwan Mazlan, Ivan Mamut, Arif Fadzilah Abu Bakar dan Mohamad Hakimi Abdullah, namun masih belum berjaya mencari gol penyamaan.

Sebaliknya pada minit ke-73, nasib malang terus menimpa tuan rumah apabila penyerangnya, Mamut dilayangkan kad merah oleh pengadil, Mohd Fusser Mad Sallih kerana dikesan mengasari Feroz Baharuddin.

Pelawat yang mendominasi permainan selepas tuan rumah beraksi dengan sembilan pemain mendapat gol ketiga hasil jaringan Endrick Dos Santos pada masa kecederaan untuk JDT merakam kemenangan 3-1.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2023 @ 11:14 PM