SAGNOL (kanan) seakan tidak percaya mampu bawa Georgia ke pusingan kalah mati. FOTO AFP
SAGNOL (kanan) seakan tidak percaya mampu bawa Georgia ke pusingan kalah mati. FOTO AFP
AFP

Velbert: Willy Sagnol menganggap pencapaian membawa Georgia layak ke Euro 2024 sudah boleh dianggap pencapaian terbaik dalam karier bola sepaknya tetapi pengendali kelahiran Perancis itu berjaya melakukan di luar jangkaan apabila mara ke peringkat kalah mati di mana mereka bakal berdepan Sepanyol Isnin ini.

Negara dengan 3.7 juta penduduk di Caucasus itu menduduki tempat ke-74 dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) dan tidak pernah menyertai kejohanan besar sejak mencapai kemerdekaan daripada Kesatuan Soviet pada 1991.

"Saya fikir kami mencapai tahap maksimum dengan layak ke Euro pada Mac lalu," akui Sagnol selepas Georgia menewaskan Portugal kendalian Cristiano Ronaldo 2-0 Khamis lalu untuk mara ke pusingan 16 terakhir.

"Untuk berada di sini sudah menjadi satu cabaran besar. Untuk layak ke pusingan 16 terakhir, kami mungkin bermimpi tanpa memikirkan ia boleh dilakukan."

Georgia mara ke Euro dengan cara yang agak berliku, menduduki tempat keempat dalam kumpulan kelayakan di belakang Sepanyol, Scotland dan Norway.

Bagaimanapun, persembahan mengagumkan mereka dalam Liga Negara-Negara Eropah memberi mereka satu lagi peluang untuk berjaya melalui play off, di mana mereka menewaskan Luxembourg dan kemudian mengalahkan Greece menerusi sepakan penalti.

"Dari segi emosi, kelayakan ke Euro amat bermakna bagi saya seperti memenangi Liga Juara-Juara Eropah bersama Bayern Munich. Saya menganggapnya sebagai tajuk utama. Ia adalah trofi pertama saya sebagai jurulatih," kata Sagnol kepada akhbar Perancis L'Equipe.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2024 @ 1:42 PM