REDZOVIC  meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. FOTO Ghazali Kori
REDZOVIC meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC II (TFC II) tidak berdepan masalah untuk mengutip tiga mata apabila menumpaskan UiTM FC 2-0 ada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, dekat sini, sebentar tadi.

Skuad kendalian Badrul Afzan Razali yang impikan kemenangan ketiga bermula dengan aksi agresif untuk mencari gol awal bermula dengan sepakan percuma penjaring terbanyak Liga Perdana musim lalu, Jordan Mintah pada minit keempat yang ditepis penjaga gol, Mohamad Ramdhan Ab Hamid.

Selepas percubaan itu, skuad The Turtles yang menyenaraikan tiga tonggak import memperoleh deretan peluang sepanjang babak pertama untuk mendahului skuad The Lions Troops, namun ketumpulan jentera serangan mengecewakan peminat yang hadir.

Skuad pelawat kendalian Ismail Ibrahim yang turun tanpa kelibat pemain import hanya memperoleh dua percubaan tepat menerusi rembatan Ahmad Azriddin Rosli pada minit ke-38 yang melambung melepasi palang gol.

Begitu juga sepakan percuma Ahmad Azriddin pada minit ke-42 yang tidak menemui jaringan walaupun penjaga gol, Mohamad Shafawi Mohamad gagal menangkap kemas percubaan itu.

Bersambung babak kedua, pemain gantian, Wan Mohamad Fazli Wan Ghazali harus menyalahkan diri sendiri apabila peluang terhidang pada minit ke-54 gagal disudahkan dengan jaringan ketika penjaga gol yang sudah tertewas.

Akhirnya TFC berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-64 menerusi tolakan Mintah yang menyambar bola muntah daripada dakapan penjaga gol bermula rembatan padu dari luar kotak penalti Amirul Syazwan Nor Azmi.

Dua minit berselang, pintu gol UiTM FC bocor lagi menerusi tandukan pemain import kelahiran Montenegro, Argzim Redzovic berpunca sepakan sudut pemain gantian, Muhammad Syafik Haqim Shahrul yang sebelum itu singgah di kepala Wan Mohamad Fazli untuk pasukannya mendahului 2-0.

Dengan kemenangan itu, skuad TFC II berjaya memperbaiki kedudukan dalam carta liga di tempat keempat dengan mengutip sepuluh mata hasil lima perlawanan manakala UiTM terus dirundum malang gagal mengutip sebarang mata setakat ini dengan menghuni di tempat ketiga tercorot.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2022 @ 12:07 AM