KIM Swee harap pemain Sabah tidak berputus asa sebaliknya perlu bangkit. FOTO GHAZALI KORI
KIM Swee harap pemain Sabah tidak berputus asa sebaliknya perlu bangkit. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: "Masih ada 90 minit lagi, pemain harus bangkit untuk melangkah ke separuh akhir," kata ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee.

Beliau berkata demikian selepas pasukannya dibelasah Terengganu FC (TFC) 0-4 pada aksi suku akhir pertama saingan Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam tadi.

Bagaimanapun jelas bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan itu, misi itu dilihat sukar lebih-lebih lagi dengan jumlah jaringan yang agak besar selain skuad lawan memiliki barisan pemain yang baik.

"Misi untuk memburu tempat ke separuh akhir dilihat begitu sukar, lagipun kita perlu realistik dengan ketinggalan empat jaringan biarpun bakal beraksi di tempat sendiri pada 6 Julai depan.

"Tapi dalam bola sepak apa-apapun boleh berlaku, jadi apa yang penting pemain harus kekal bersaing dan fokus bermula pada minit awal permainan lagi selain beraksi mengikut perancangan yang lebih baik.

"Jika kita dapat gol awal dan diikuti gol kedua dan seterusnya, ia sudah tentu dapat meningkat lagi motivasi pemain, jadi mereka tidak boleh berputus asa," ujarnya selepas tamat perlawanan itu.

Pada perlawanan itu, pintu gol skuad Sang Badak dibolosi seawal minit kesembilan menerusi Manuel Ott dan disusuli Ismaheel Akinade, Marin Pilj sebelum Akinade sekali lagi meledak gol pasukannya.

Mengulas perlawanan itu, Kim Swee menerima dengan hati yang terbuka biarpun riak wajahnya memperlihatkan kekecewaan terutama selepas anak buahnya gagal menjaringkan gol selain bolos empat jaringan.

Lebih mengecewakan gol yang dilepaskan anak buahnya adalah jaringan yang mudah disebabkan kelekaan barisan pertahanan yang membiarkan pemain lawan bergerak bebas dalam kawasan bahaya.

"Pada babak pertama kita dibolosi gol-gol yang mudah berpunca kelemahan dan kelekaan kita sendiri di mana pertahanan tidak bermain sebagaimana permainan sebenar mereka.

"Ini sekali gus menyaksikan lawan yang mempunyai barisan penyerang yang baik berjaya menyempurnakan peluang terhidang dengan jaringan, saya harus terima kekalahan itu kerana pemain tidak memperagakan aksi terbaik mereka selain mengambil mudah.

"Tapi harap pemain tidak berputus asa sebaliknya perlu bangkit kerana dalam bola sepak tiada yang mustahil, janji pemain fokus, bijak mengambil peluang selain buru jaringan awal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2024 @ 1:52 PM