ASAP kelihatan dari kawasan yang menjadi sasaran Israel di daerah Shujaiya, Bandar . FOTO AFP
ASAP kelihatan dari kawasan yang menjadi sasaran Israel di daerah Shujaiya, Bandar . FOTO AFP
Reuters

Washington: Pentadbiran Joe Biden menghantar sejumlah besar senjata kepada Israel termasuk lebih 10,000 bom seberat 2,000 paun (lebih sembilan tan) yang membawa kemusnahan besar sejak permulaan perang di Gaza serta ribuan peluru berpandu Hellfire.

Ia didedahkan dua pegawai Amerika Syarikat (AS) yang memberi taklimat mengenai senarai penghantaran senjata yang dikemas kini.

Dalam tempoh permulaan perang pada Oktober tahun lalu dan beberapa hari kebelakangan ini, AS menghantar sekurang-kurangnya 14,000 bom MK-84 2,000 paun; 6,500 bom seberat 500 paun, 3,000 peluru berpandu udara-ke-darat Hellfire; 1,000 bom bunker-buster; 2,600 bom berdiameter kecil yang dijatuhkan di udara dan senjata lain, kata pegawai yang tidak diberi kuasa untuk memberi maklumat secara terbuka.

Walaupun pegawai tidak memberikan tempoh masa penghantaran, jumlah itu menunjukkan tidak ada penurunan ketara dalam sokongan ketenteraan AS kepada sekutunya, walaupun wujud gesaan antarabangsa untuk mengehadkan bekalan senjata dan keputusan pentadbiran baru-baru ini untuk menghentikan penghantaran bom yang kuat.

Pakar berkata, kandungan penghantaran kelihatan konsisten dengan apa yang Israel perlukan untuk menambah bekalan yang digunakan dalam kempen ketenteraan sengit selama lapan bulan di Gaza, yang dilancarkan selepas serangan 7 Oktober oleh pejuang Hamas Palestin.

"Walaupun jumlah ini boleh dibelanjakan dengan cepat dalam konflik besar, senarai ini jelas mencerminkan tahap sokongan yang besar daripada AS untuk sekutu Israel kami," kata pakar senjata di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa, Tom Karako.

Katanya, senjata perang yang disenaraikan adalah jenis yang akan digunakan Israel dalam memerangi Hamas atau kemungkinan konflik dengan Hizbullah.

Jumlah penghantaran, yang belum dilaporkan sebelum ini, menunjukkan jumlah peluru paling terkini dan meluas yang dihantar ke Israel sejak perang Gaza bermula.

Israel dan Hizbullah yang disokong Iran saling berbalas serangan sejak permulaan perang Gaza, dan kebimbangan perang habis-habisan boleh meletus antara kedua-dua pihak semakin meningkat.

Rumah Putih bagaimanapun enggan mengulas.

Kedutaan Israel di Washington juga tidak memberi maklum balas segera ketika diminta memberikan ulasan.

Seorang pegawai AS berkata, penghantaran itu adalah sebahagian daripada senarai lebih besar senjata yang dihantar ke Israel sejak konflik Gaza bermula.

Seorang pegawai kanan pentadbiran Biden pada Rabu memberitahu wartawan yang Washington sudah menghantar senjata bernilai AS$6.5 bilion (kira-kira RM30.7 bilion) kepada Israel sejak 7 Oktober.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2024 @ 1:27 PM