PEMAIN Perak FC mengasak pemain PDRM FC di Stadium MBPJ. FOTO PDRM FC
PEMAIN Perak FC mengasak pemain PDRM FC di Stadium MBPJ. FOTO PDRM FC
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Mungkin perlu beli Ronaldo (Cristiano Ronaldo). Itu penjelasan pengendali Perak FC, Datuk Lim Teong Kim apabila melihat sekali lagi anak buahnya gagal menterjemahkan setiap peluang untuk menjaringkan gol ketika bertemu PDRM di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) semalam.

Pada pertemuan itu, menyaksikan puluhan peluang yang dicipta skuad Bos Gaurus tidak berjaya menerjah jaring sekali gus menyaksikan perlawanan berkesudahan seri 0-0.

Teong Kim berkata, corak permainan ditampilkan barisan anak buahnya menunjukkan peningkatan berbanding perlawanan menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC Sabtu lalu namun mereka tetap tidak bernasib baik untuk terjemahkan setiap peluang kepada gol.

"Kita lihat sebenarnya bukan senang beraksi di gelanggang lawan dan untuk itu lebih baik memperoleh satu mata daripada kehilangan tiga mata.

"Apa yang boleh saya katakan, pemain hanya perlu meletakkan bola di dalam jaring saja. Malah boleh lihat berapa banyak peluang kita cipta pada perlawanan malam tadi.

"Mungkin perlawanan seterusnya perlu beli Ronaldo namun pemain ini sudah beraksi di Arab Saudi tapi tidak tahulah nanti," katanya.

Selain itu, Teong Kim berkata, secara keseluruhan barisan anak buahnya mempamerkan aksi yang cukup baik walaupun tanpa kehadiran beberapa tonggak utama akibat perggantungan perlawanan. "Saya lihat mereka bermain dengan baik cuma kebanyakannya kurang pendedahan sekali gus menjadi faktor gagal menyudahkan setiap peluang terhidang di depan gol.

"Pada masa sama, saya mengharapkan perlawanan akan datang, mereka akan tampil lebih meyakinkan dan memperbaiki kelemahan yang ada terutama di bahagian serangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2023 @ 12:29 PM