AKSI antara PDRM dan Terengganu di Stadium MBPJ malam tadi. FOTO Bernama
AKSI antara PDRM dan Terengganu di Stadium MBPJ malam tadi. FOTO Bernama
Syazwan Msar

Kuala Lumpur: PDRM FC membuktikan mereka bukan mudah untuk ditumpaskan apabila mencatatkan keputusan seri 0-0 bertemu Terengganu FC pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.

Ternyata keampuhan benteng PDRM yang ditunjangi kapten pasukan James Okwuosa, Aliff Najmi Shaaini dan Alif Naquiddin Mohd Shouffi cukup sukar dibolosi barisan serangan Terengganu untuk mencetak sekurang-kurangnya satu gol.

Malah, Terengganu terlebih dahulu menguji gawang gol tuan rumah menerusi awang import mereka Sony Norde pada awal perlawanan namun jauh tersasar sekali gus memberi kelegaan kepada PDRM.

Peluang terbaik PDRM hadir pada minit ke-33 menerusi larian solo Kyaw Min Oo yang melepaskan rembatan leret sehingga memaksa Suhaimi Husin merebahkan badan bagi menyelamatkan gawangnya.

Ramdhan terus 'dihujani' dengan percubaan jarak jauh dari Terengganu kali ini menerusi rembatan Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob pada minit ke-40 dan keputusan 0-0 kekal hingga tamat babak pertama.

Norde sekali lagi berpeluang menyumbat gol pembukaan buat Terengganu pada minit ke-60 menerusi serangan balas pantas namun percubaannya sempat 'ditutup' James Okwuosa.

Muhamad Shahrul Nizam Ros Hasni menutup peluang PDRM untuk mendapatkan gol kemenangan pada minit ke-88 selepas pertahanan itu menghalang gerakan Muhammad Amirul Wa'ie Ya'acob.

Kedua-dua pasukan yang terus giat melancarkan serangan bagaimanapun terpaksa akur selepas pengadil meniup wisel tamat perlawanan pada kedudukan 0-0.

Selepas ini, PDRM akan berdepan Kelantan United di Kota Bharu sementara Terengganu akan melayan kunjungan Negeri Sembilan FC (NSFC).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2023 @ 11:05 PM