Mukhairi ketika beraksi menentang Maldives. -FOTO NSTP
Mukhairi ketika beraksi menentang Maldives. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Tonggak skuad Harimau Malaya Mukhairi Ajmal menyimpan hasrat mengakhiri kemarau jaringan gol pada perlawanan terakhir kumpulan B Piala AFF 2022 bertemu Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini.

Mukhairi yang juga pemain Selangor FC berkata, dia mahu memastikan nama sebagai pencetak jaringan tertera pada pertemuan menentang Singapura sekali gus membantu pasukan melangkah ke separuh akhir.

Katanya, setiap pemain negara termasuk dirinya mempunyai kemampuan untuk menjaringkan gol sekali gus memberi kelebihan kepada skuad Harimau Malaya memperoleh tiga mata penting.

"Saya lihat semua pemain boleh jaringkan gol, dan peluang untuk saya jaringkan gol memang ada sebelum ini tapi belum masuk lagi. Insya-Allah lawan Singapura nanti ada peluang lagi ,saya akan cuba jaringkan gol.

"Sekarang ini, mentaliti pemain berada dalam keadaan baik dan sudah melupakan kekalahan kepada Vietnam dengan masing-masing mahu membenam Singapura pada perlawanan terakhir kumpulan B.

"Apa yang boleh saya katakan, Singapura mempunyai corak permainan yang baik sekali gus kita perlu berhati-hati dengan mengelak mereka melakukan serangan pantas," katanya, ketika ditemui pada sesi latihan skuad Harimau Malaya di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), semalam.

Skuad kendalian Kim Pan-gon berjaya mengutip enam mata selepas tiga perlawanan menerusi dua kemenangan dan satu kekalahan di tangan Vietnam baru-baru ini.

Skuad Harimau Malaya akan menentang Singapura pada perlawanan terakhir pada 3 Januari 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan misi wajib menang sekiranya mahu mara ke peringkat separuh akhir.

Selain itu, Mukhairi turut menjelaskan bahawa Pan-gon memberinya peluang untuk bermain menyerang kerana mahu melihat kemampuannya.

"Jurulatih memberi peluang dan ruang kepada saya untuk menjadi individu menyumbang gol pada pasukan selepas melihat kelebihan yang dimiliki pada sesi latihan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Disember 2022 @ 12:44 PM