MAMUT (kiri) dan Pusic  tidak tertekan beraksi di Asia.
MAMUT (kiri) dan Pusic tidak tertekan beraksi di Asia.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Tonggak import baharu Terengganu FC (TFC), Damagoj Pusic dan Ivan Mamut menjelaskan mereka tidak sesekali tertekan beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) walaupun kali pertama bakal bermain di pentas Asia.

Malah pemain tinggi lampai kelahiran Croatia itu akui teruja dan bagaikan tidak sabar untuk membuat penampilan sulung bersama skuad Penyu kendalian bekas

Pengarah Teknikal Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd musim lalu, Tomislav Steinbruckner.

"Ini kali pertama saya keluar bermain dari Croatia. Saya tahu mengenai TFC daripada jurulatih, (Steinbruckner). Beliau satu kampung dengan saya dan banyak memberitahu berkaitan kelab ini antara yang terbaik di Malaysia.

"Jurulatih juga memberitahu kelab ini mempunyai misi besar tahun ini dan akan bermain untuk Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia), beliau juga menunjukkan projek itu kepada saya.

"Jadi saya sangat menyukainya dan begitu teruja untuk beraksi bersama TFC, lagipun saya seorang pemain tengah yang agresif, saya suka bermain dengan banyak sentuhan.

"Harap kehadiran saya ke sini (Terengganu) dapat membantu pasukan. Lagipun saya tidak tertekan kerana sudah melihat corak permainan yang baik, kelab yang bagus dan sangat bercita-cita tinggi walaupun sejujurnya saya tidak begitu biasa dengan bola sepak Asia," kata pemain berketinggian 1.90 meter (m) mirip penyerang Perancis, Karim Benzema selepas ditemui di pejabat TFC Sdn Bhd, semalam.

Rakan senegaranya Mamut turut senada dan akui begitu teruja walaupun belum pernah beraksi di pentas Asia selepas sebelum ini beraksi dengan kelab Football Club SB (FCSB) dalam Liga Romania.

"Saya mendapat sokongan daripada rakan-rakan dan keluarga, walaupun tidak pernah beraksi di Asia. Ini pengalaman sangat baik buat saya bersama TFC.

"Ia juga boleh meningkatkan motivasi, lagipun saya tidak tertekan, malah saya bagaikan tidak sabar menunggu perlawanan pertama bagi melihat suasana di sini," kata pemain berketinggian 1.92m itu yang bakal bergandingan dengan penyerang kelahiran Thailand, Adisak Kraisorn.

Semalam TFC Sdn Bhd melengkapkan senarai sembilan pemain import apabila mengikat Pusic dan Mamut selama setahun, pemain itu juga sudah menjalani latihan bersama rakan sepasukannya bermula semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2023 @ 1:17 PM