WOODLAND bakal dipinjamkan kepada pasukan lain musim ini. FOTO TFC
WOODLAND bakal dipinjamkan kepada pasukan lain musim ini. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) membayangkan akan meminjamkan pemain importnya, Luke Woodland kepada pasukan lain dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Ini berikutan ada beberapa pasukan menyatakan hasrat untuk 'melamar' pemain kebangsaan Filipina itu bagi memperkasakan lagi skuad mereka.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh yang tidak menafikan pemain pertahanan import itu bakal dipinjamkan kepada pasukan lain.

"Ada beberapa pasukan yang mahukan khidmat Woodland secara pinjaman bagi memperkuatkan lagi pasukan mereka musim ini.

"Jadi kita dalam proses perbincangan mengenai perkara itu (proses pinjaman) dengan pasukan yang mahukan khidmatnya, kita sedia melepaskan pemain berketinggian 1.83 meter itu.

"Saya yakin jika dia (Woodland) berlatih bersungguh-sungguh dan tiada kecederaan, dia mampu beraksi dengan baik, lagipun pemilihan yang dibuat pada peringkat awal dahulu pun disebabkan persembahan dan prestasi terbaiknya ketika bersama pasukan lain," katanya.

Sekiranya Woodland dipinjamkan, TFC akan mempertaruhkan hanya lapan tonggak importnya yang sudah 'dirantai' iaitu Habib Haroon (Bahrain), Sony Norde (Haiti), Surdor Kulmatov (Uzbekistan), Jordan Mintah (Ghana), Adisak Kraisorn (Thailand), Argzim Redzovic (Montenegro) dan dua pemain kelahiran Croatia, Ivan Mamut dan Damagoj Pusic.

Woodland yang lahir di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pernah menyarung jersi kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Bolton Wanderers selama tiga musim bermula 2013.

Selain kelab itu, pemain yang mampu beraksi di posisi tengah itu pernah menyarung jersi 10 lagi kelab termasuk pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada 2019 sebelum beraksi dengan kelab Thailand, Ratchaburi Mitr Phol pada 2020 dan Terengganu FC II (TFC) bermula 2021.

Difahamkan pemain yang pernah beraksi dengan pasukan kebangsaan England Bawah 16, 17 dan 18 Tahun itu akan menyarung jersi Kelantan United FC (KUFC) musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2023 @ 8:27 PM