INDRA Putra Mahayuddin. FOTO NSTP
INDRA Putra Mahayuddin. FOTO NSTP
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Kelantan United Football Club (KUFC) terus rancak membuat persediaan liga musim ini apabila mengikat pemain senior, Indra Putra Mahayuddin.

Indra, 42, dilihat boleh menjadi 'wow factor' dan membantu KUFC yang buat pertama kali bersaing dalam Liga Super, musim ini.

Kepulangan pemain digelar legenda Kelantan itu sudah pasti khabar gembira buat penyokong kijang hijau selepas kali terakhir menyarung jersi Kelantan pada tahun 2017.

Pengalaman Indra yang menjadi tonggak utama Kelantan merangkul treble pada tahun 2012 sudah pasti ditagih untuk menaikkan lagi kedudukan KUFC yang menamatkan saingan liga perdana di tangga kelima.

Indra mendahului senarai pemain musim 2023 yang diumumkan menerusi laman rasmi Facebook KUFC sejak semalam.

Selain Indra, KUFC turut menyambar pemain 'jiran sebelah', Kelantan FC, Abdul Latiff Suhaimi bagi memperkuat bahagian pertahanan pasukan.

Turut tersenarai, pemain sayap Kedah Darul Aman (KDA), Syazwan Zainon dan pertahanan Melaka United (MU), Muhammad Fauzan Fauzi yang berpengalaman membuat 13 penampilan dalam saingan Liga Super.

KUFC turut mengumumkan logo baharu pasukan dengan mengekalkan warna hijau dan merah sebagai identiti kelab.

Pengarah Eksekutif KUFC, Anas Karimi Ahmad Thani berkata, kehadiran pemain-pemain berpengalaman itu diharap dapat menyerap motivasi lebih tinggi buat pasukan yang akan dibarisi 90 peratus pemain berusia bawah 30 tahun.

Katanya, bagi senarai import, akan diumumkan bermula minggu depan.

KUFC menggugurkan kesemua import musim lalu iaitu Shuhei Fukai, Julius Ofori Ziggy, Njoku Jacob dan legenda Jepun, Masashi Motoyama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2023 @ 7:40 PM