DATUK Che Abdullah  (tengah) bersama  Hiroshi Hamada (kanan) pada majlis tandatangan penajaan Yakult  di Hotel Ibis Style,Kota Bharu.  FOTO Nor Amalina Alias
DATUK Che Abdullah (tengah) bersama Hiroshi Hamada (kanan) pada majlis tandatangan penajaan Yakult di Hotel Ibis Style,Kota Bharu. FOTO Nor Amalina Alias
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pengeluar minuman probiotik terkemuka dunia, Yakult Malaysia Sdn Bhd sekali lagi mencatat sejarah apabila menandatangani perjanjian kerjasama strategik bersama pasukan Kelantan United bertempat di Hotel Ibis, Kota Bharu, Kelantan.

Perjanjian kerjasama strategik itu menyaksikan nilai tajaan pasukan sebanyak RM 250,000 selain perancangan program pembangunan bola sepak akar umbi bersama Kelantan United FC (KUFC).

Persetujuan dicapai hasil perbincangan kedua-dua pihak sebelum ini yang diwakili Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada serta Presiden Kelantan United FC, Datuk Che Abdullah Mat Nawi yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Malaysia.

Melalui kerjasama pintar itu, Yakult Malaysia dan KUFC bersetuju melaksanakan program bola sepak akar umbi bersama selain berkongsi DNA sebenar bola sepak Jepun bersama kelab yang beraksi di Liga Perdana itu.

Pemilihan KUFC sebagai rakan strategik bola sepak Yakult kerana pencapaian pasukan ini yang dilihat agak memberangsangkan pada musim terdahulu, selain sokongan daripada pengurusan sedia ada yang amat positif terhadap usaha yang dijalankan ini.

Mengulas mengenai inisiatif itu, Hamada berkata: "Sebagai sebuah syarikat Jepun, Yakult Malaysia ingin memainkan peranan dalam membentuk kerjasama lebih erat di antara Malaysia dan Jepun untuk menyumbang kepada pembangunan sukan bola sepak di Malaysia.

"Salah satu cara kami dapat memberi sumbangan ialah dengan menghubungkan kedua belah pihak secara strategik dan mendedahkan DNA bola sepak Jepun ke dalam arena bola sepak Malaysia," katanya.

Malah, menerusi perjanjian ini juga, KUFC turut menerima manfaat apabila berjaya membawa masuk beberapa individu penting yang akan mencorakkan DNA Jepun kepada pasukan ini.

Antaranya, pelantikan jurulatih KUFC dari negara Samurai Biru itu, Akira Hagashiyama serta dua pemain berbakat iaitu tonggak muda, Yuki Tanigawa dan pemain legenda, Masashi Motoyama.

Sementara itu, Che Abdullah menyifatkan kerjasama strategik itu sebagai satu kerjasama pintar yang akan memberikan manfaat kepada pasukan serta pembangunan bola sepak akar umbi di negeri Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2020 @ 6:26 PM