PEMAIN KUFC, Mohd Zulkiffli Zakaria (kiri) berebut bola dengan pemain Projek FAM-MSN, Muhammad Hazwan Hassan (kanan). FOTO Nik Abdullah Nik Omar
PEMAIN KUFC, Mohd Zulkiffli Zakaria (kiri) berebut bola dengan pemain Projek FAM-MSN, Muhammad Hazwan Hassan (kanan). FOTO Nik Abdullah Nik Omar
BERNAMA

Kota Bharu: Kesilapan berulang dilakukan barisan pertahanan antara faktor Kelantan United FC (KUFC) terpaksa berpuas hati berkongsi mata dengan Skuad Projek FAM-MSN pada aksi Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad lV, semalam.

Ketua Jurulatih KUFC Syamsul Saad berkata, faktor itu menjadi kegusarannya menghadapi baki perlawanan liga terbabit dalam usaha merebut slot ke saingan Liga Super musim depan.

"Perkara sama dilakukan pemain pertahanan apabila melepaskan gol mudah kepada pasukan lawan seperti bertemu Perak, PDRM dan UiTM sebelum ini. Pemain jadi gugup setelah menerima asakan lawan.

"Kami ketinggalan pada minit awal perlawanan dengan pemain pertahanan menyumbang gol sendiri sekali gus membunuh keyakinan pasukan sehingga terpaksa berhempas pulas untuk mendapat gol penyamaan," katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu berakhir, semalam.

Gawang KUFC dibolosi pada minit ke-6 perlawanan menerusi gol sendiri oleh pemain pertahanan import dari Jepun Shuhei Fukai, manakala gol penyamaan KUFC diperoleh pada minit ke-52 hasil jaringan penyerang Muhammad Haziq Mohd Sobri.

Jurulatih kelahiran Perak itu berharap pemainnya bangkit dan mencari jalan untuk tidak melakukan kesilapan mudah pada perlawanan selepas ini sekiranya mahu mendapat slot ke Liga Super 2023.

"Saya lihat pemain yang mendapat peluang bermain tidak merebut peluang diberikan, mereka tidak menonjolkan kemampuan seperti yang diharapkan. Keputusan seri ini meletakkan tekanan kepada kami kerana selepas ini kami akan menghadapi pasukan kuat yang berada di kelompok teratas seperti JDT II," katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih pasukan Skuad Projek FAM-MSN Hassan Sazali Mohd Waras berkata, keputusan memperoleh satu mata bertemu pasukan senior satu petanda positif kepada pasukannya yang dibarisi pemain 'budak sekolah.'

"Alhamdulillah, pemain beraksi mengikut arahan seperti yang dirancang kerana kami berdepan pasukan berpengalaman dengan tidak memberi laluan mudah kepada tuan rumah memperoleh tiga mata penuh," katanya.

KUFC kini berada di kedudukan keenam dengan memperoleh 17 mata hasil daripada empat kemenangan, lima seri dan tiga kekalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2022 @ 11:12 AM