THOMAS Trucha. FOTO Kelantan United
THOMAS Trucha. FOTO Kelantan United
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Aksi pemanas badan pra musim pertama Sabtu ini bakal menjadi medan membuang karat prestasi pemain Kelantan United Football Club (KUFC).

KUFC bakal berdepan Terengganu FC di Stadium Sultan Muhammad IV,Kota Bharu.

Ketua Jurulatih KUFC, Thomas Trucha berkata, dia gembira dengan peluang untuk pasukan beraksi pada perlawanan ini walaupun soal kecergasan, teknikal dan taktikal masih jauh daripada jangkaan.

"Faktor itu mungkin kerana tempoh rehat pemain yang panjang, menyaksikan kecergasan pemain tampak sangat berkarat.

"Masih banyak kerja perlu dilakukan sebelum turun aksi menentang Terengganu nanti," katanya.

Katanya, semua pasukan teknikal kejurulatihan dan pemain sedang bekerja keras untuk mengembalikan semula kecergasan dalam setiap sesi latihan.

Tambah pengendali dari Republik Czech itu, pasukan turut membina taktikal permulaan supaya perlawanan sulung musim ini memberi saingan kompetetif sebagai pihak tuan rumah.

"Kita juga giat jalankan sesi latihan di padang dan gim bagi menyiapkan pasukan menghadapi saingan Liga Super Malaysia 2023 yang bermula Februari depan," katanya.

KUFC kini dalam mod bersedia selepas melengkapkan barisan pemain dan import dengan sesi latihan sudah bermula sejak 4 Januari lalu.

Pasukan Kijang Hijau juga merancang beberapa perlawanan persahabatan bagi memantapkan pasukan termasuk di laman sendiri dan tiga perlawanan di sekitar Lembah Klang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 January 2023 @ 4:13 PM