HIGASHIYAMA (dua dari kiri) uji pemain buat kali terakhir menentang TFC sebelum saingan Liga Perdana bermula. FOTO Ihsan Kelantan United FC
HIGASHIYAMA (dua dari kiri) uji pemain buat kali terakhir menentang TFC sebelum saingan Liga Perdana bermula. FOTO Ihsan Kelantan United FC
BERNAMA

Kota Bharu: Pasukan Terengganu FC (TFC) menjadi ujian terakhir buat Kelantan United (KUFC) sebelum tirai saingan Liga Perdana bermula 6 Mac ini.

Pengurus pasukan KUFC, Nik Khuzaimi Nudin berkata perlawanan pemanas badan itu akan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu malam esok.

Beliau berkata TFC di bawah bimbingan jurulatih Mohd Nafuzi Zain adalah kelab yang sangat berminat menguji pasukan KUFC dalam tempoh persiapan pramusim sebelum kempen Liga Malaysia (Liga M) bermula.

"Perlawanan itu adalah aksi pemanas badan terakhir kami sebelum bertolak ke Selayang untuk perlawanan pembukaan menentang Sarawak United di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 6 Mac," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Khuzaimi berkata sebelum ini pasukannya menjalani latihan bersama-sama sebuah kelab Liga Super dan ia memberi nilai tambah yang baik daripada segi persiapan pasukan.

"Keputusan perlawanan malam esok tidak penting, namun apa yang penting bagaimana ketua jurulatih, Akira Higashiyama dan pembantunya berupaya membentuk kombinasi pemain serta taktikal dalam tempoh masa semakin singkat.

"Pihak pengurusan berharap perlawanan persahabatan yang diatur ini dapat memberi pengalaman serta persediaan kepada pasukan dan barisan kejurulatihan untuk menyiapkan skuad terbaik pada saingan Liga Perdana nanti," katanya.

Pada musim ini, KUFC melakukan rombakan besar-besaran dengan mendapat sentuhan jurulatih Jepun, Akira Higashiyama dan diperkuat dengan kehadiran pemain import Gassama Alfusainey, Yuki Tanigawa, Shuhei Fukai dan bekas tonggak skuad Piala Asia Jepun 2004 berusia 41 tahun, Masashi Motoyama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Februari 2021 @ 7:16 PM