PRESIDEN Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan. Foto fail
PRESIDEN Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan. Foto fail
Mohd Fitrie Muhamad


PERSATUAN Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) akan mengemukakan beberapa kriteria kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang perlu dipatuhi pasukan Liga Malaysia (Liga M) sebelum mengambil jurulatih import.

Inisiatif itu dilihat bagi mengelak berlaku lambakan jurulatih luar negara dalam saingan Liga M dan menghalang daripada berlaku penipuan membabitkan kelayakan seperti penggunaan sijil kejurulatihan ‘koboi’.

Presiden PJBM, B Sathianathan berkata, pasukan juga perlu memberi kerjasama dengan memilih jurulatih terbaik dan bukannya sekarang tangkap muat.

“Kita mahu cadang seseorang jurulatih boleh datang ke sini sekiranya dia pernah menjawat jawatan ketua jurulatih pasukan utama. Jika dia (jurulatih) pernah bekerja di Bundesliga, Liga Perdana Inggeris, mana-mana pasukan utama di Eropah atau divisyen dua, kita benarkan mereka ke sini.

“Tetapi jika dia datang sebagai jurulatih divisyen kelima atau keenam, adakah kita boleh benarkan dia ke Malaysia? Kelab kalau mahu pilih, sila buat pilihan terbaik.

“Sebelum tandatangan, rujuk kepada kita sijil berkenaan, sama ada sah atau pun tidak,” katanya ketika Majlis Penutup Simposium Kejurulatihan Bolasepak Belia, hari ini.

Bagi memastikan jurulatih yang mempunyai kelayakan saja dapat membimbing pasukan dalam Liga M, pasukan tempatan juga boleh merujuk kepada FAM dan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP).

Malah Sathianathan sebelum ini pernah mengakui terdapat beberapa kes apabila ada jurulatih yang tidak mempunyai sijil kelayakan atau lesen A tetapi dilantik sebagai ketua jurulatih.

FMLLP juga bertegas tindakan penggantungan bakal dikenakan kepada pasukan yang didapati bersekongkol dengan aktiviti menyewa lesen ‘A’ jurulatih atau ‘Ali Baba’ lesen berkenaan bagi kegunaan jurulatih yang mereka lantik.

“Kita perlu lindungi integriti kerja sebagai jurulatih. Apabila kita ambil jurulatih import, mereka patut jadi lebih baik dan contoh,” kata Pengarah Teknikal FAM, Peter De Roo.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2018 @ 7:59 PM