SATHIANATHAN akui PJBM banyak terima aduan mengenai isu pinjam lesen.  FOTO/OSMAN ADNAN
SATHIANATHAN akui PJBM banyak terima aduan mengenai isu pinjam lesen. FOTO/OSMAN ADNAN
Firdaus Hashim


PERSATUAN Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) memandang serius isu penipuan lesen kejurulatihan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang semakin menular ketika ini.

Menurut Presiden PJBM, B Sathianathan, isu pajakan lesen atau lebih dikenali dengan konsep ‘Ali Baba’ ini dilihat makin berleluasa terutamanya membabitkan pasukan Liga Perdana.

Katanya, sikap beberapa pasukan yang mahu mencari jurulatih murah juga turut menyumbang kepada gejala tidak baik ini yang boleh merencatkan sistem pembangunan bola sepak tempatan.

“Ada banyak aduan yang kami terima dan antaranya mengenai isu pinjam lesen. Ini tak masuk akal, macam mana seorang yang ada lesen A sanggup terbabit dengan menyewakan lesen itu kepada orang lain.

“Ia bukan saja pasal isu penipuan apabila jurulatih yang tidak layak melatih pasukan, tapi juga akan merosakkan pemain muda kerana jurulatih itu tidak tahu bagaimana untuk melatih mengikut kaedah dan cara yang betul.

“Malah, kesilapan ini bukan hanya kepada jurulatih yang menyewakan lesen mereka, pihak pengurusan pasukan juga bertanggungjawab. Untuk mengurangkan kos, mereka sanggup ambil jurulatih itu dan bersekongkol.

“Setakat ini ada dua nama dan saya pun dah menelefon jurulatih ini untuk menghentikan perbuatan mereka. Kalau tidak kami di PJBM tak akan teragak-agak ambil tindakan (gantung lesen),” katanya hari ini.

Jelasnya lagi, PJBM akan memantau perkara itu dengan menghantar tiga pegawai untuk memastikan isu itu dapat ditangani.

“Mereka yang menyewa lesen ini akan datang dan berada di tempat duduk. Kebanyakan individu ini cuma ada lesen C dan D saja, sudah tentu mereka tidak layak menjadi ketua jurulatih.

“Saya dan ahli PJBM akan memantau isu ini dengan menghantar dua atau tiga pegawai dalam latihan dan aksi. Biasanya pasukan yang ‘nyawa ikan’ atau kekurangan bajet di Liga Perdana gemar menipu lesen jurulatih mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2017 @ 8:45 PM