HAMIDIN memantau sesi latihan pemain negara.
HAMIDIN memantau sesi latihan pemain negara.
Firdaus Hashim

Yangon: Latihan terakhir skuad Harimau Malaya di Stadium Thuwunna di sini petang tadi berlangsung ceria. Malah kehadiran Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang hadir menyaksikan latihan itu menambahkan lagi semangat anak buah Kim Pan-gon menjelang aksi pertama menentang Myanmar petang esok.

Hamidin yang baharu tiba di Yangon tengahari tadi tidak menunggu lama dan terus ke venue latihan untuk memberi sokongan.

Beliau juga sempat berjumpa dan berbual mesra dengan Presiden Persatuan Bolasepak Myanmar, Zaw Zaw dan ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon dan pemain.

Malah, Hamidin juga meluangkan masa bertanya khabar dengan delegasi media dari Malaysia yang membuat liputan perlawanan itu.

Skuad negara diletakkan dalam Kumpulan B Piala AFF dan aksi dengan Myanmar adalah perlawanan pembukaan buat pasukan negara.

Selain Myanmar, skuad negara akan berdepan Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada Sabtu, selain Vietnam di Hanoi (Selasa depan) dan Singapura di SNBJ (3 Januari).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2022 @ 7:21 PM