TUNKU Ismail (kiri) dilihat bersama Pan-gon dan Hamidin. FOTO FB Johor Southern Tigers
TUNKU Ismail (kiri) dilihat bersama Pan-gon dan Hamidin. FOTO FB Johor Southern Tigers
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon menghadap Tunku Ismail Sultan Ibrahim bagi membincangkan beberapa perkara berkaitan pasukan kebangsaan yang bakal melakukan persiapan awal menjelang kempen Piala Asia di Qatar, Januari tahun depan.

Pertemuan yang turut membabitkan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin itu berlangsung di Ibu Pejabat kelab Johor Darul Ta'zim (JDT), hari ini.

Menerusi perkongsian di laman Twitter Tunku Ismail, beliau dilihat berbincang dengan Hamidin dan Pan-gon mengenai hala tuju skuad Harimau Malaya.

"Datuk Hamidin Mohd Amin, Presiden FAM dan Kim Pan-gon, Ketua Jurulatih Harimau Malaya di Ibu Pejabat JDT pada hari ini bagi membincangkan beberapa perkara berkaitan bola sepak kebangsaan," katanya.

Walaupun tidak menjelaskan secara terperinci mengenai topik pertemuan itu, namun kemungkinan kehadiran FAM adalah untuk mendapatkan kebenaran Tunku Ismail menjadikan pusat latihan JDT sebagai venue latihan skuad kebangsaan bulan depan.

Malah perbincangan juga mungkin membabitkan penggunaan Stadium Sultan Ibrahim sebagai gelanggang dua aksi persahabatan antarabangsa pada bulan depan selepas Stadium Nasional Bukit Jalil terpaksa ditutup bagi membolehkan proses penukaran padang dilakukan.

Begitu itu sahaja, topik perbincangan mengenai tawaran melantik Tunku Ismail sebagai pengurus skuad negara mungkin disentuh juga dalam pertemuan itu.

Sebelum ini, Hamidin mengakui tidak menolak kemungkinan Tunku Ismail akan menjadi pengurus Harimau Malaya.

Hamidin berkata, jika perkara itu benar, beliau sendiri akan berjumpa dengan Tunku Ismail bagi membincangkan perkara itu demi kebaikan pasukan bola sepak kebangsaan pada masa hadapan.

Terdahulu, timbul spekulasi yang mengatakan pemilik JDT itu sesuai menjadi pengurus Harimau Malaya selepas kerap memberikan sumbangan dan bantuan sewajarnya bagi memastikan dapat menjalani latihan dengan sempurna seterusnya mampu memberi tentangan sengit kepada lawan.

Antaranya Tunku Ismail memperuntukkan peralatan kecergasan untuk pasukan dalam usaha meningkatkan kualiti pasukan kebangsaan sebagai persediaan menghadapi perlawanan Piala Asia awal 2024.

Malah, beliau juga pernah mengeluarkan wang sendiri untuk menukarkan permukaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) daripada Cow Grass kepada Zeon Zoysia yang menelan belanja sebanyak RM1.5 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2023 @ 5:30 PM