AFP

Doha: Stephanie Frappart akan menjadi wanita pertama mengadili perlawanan Piala Dunia lelaki selepas Fifa mengumumkan bahawa dia akan mengendalikan perlawanan Kumpulan E antara Jerman dan Costa Rica, awal pagi Jumaat ini.

Frappart yang berasal dari Perancis, adalah salah seorang daripada tiga pengadil wanita dipilih untuk kejohanan di Qatar bersama Salima Mukansanga dari Rwanda dan Yoshimi Yamashita dari Jepun.

Tiga lagi pengadil wanita hadir di Qatar sebagai pembantu pengadil.

Bagi Frappart, 38, mengadili perlawanan Piala Dunia lelaki adalah antara pencapaian terbaiknya selepas menempa nama di peringkat Eropah.

Dia menjadi pengadil wanita pertama mengadili Ligue 1 di Perancis pada tahun 2019, tahun sama menjadi pengadil di final Piala Dunia wanita di negaranya itu.

Frappart turut mengadili perlawanan final Piala Super 2019 antara Liverpool dan Chelsea, sebelum tampil di Liga Juara-Juara 2020 dan final Piala Perancis musim lalu.

STEPHANIE akan mengadili perlawanan antara Jerman dan Costa Rica. FOTO AFP
STEPHANIE akan mengadili perlawanan antara Jerman dan Costa Rica. FOTO AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2022 @ 2:53 PM