PITANA akan dibantu Maidana dan Belatti. -Foto AFP
PITANA akan dibantu Maidana dan Belatti. -Foto AFP
AFP

 

MOSCOW: Nestor Pitana dari Argentina akan menjadi pengadil final Piala Dunia membabitkan Perancis dan Croatia, umum FIFA hari ini.

Pitana, bekas pelakon yang sudah mengadili empat perlawanan termasuk aksi pembuka tirai kejohanan membabitkan negara tuan rumah Russia dan Arab Saudi dan Perancis-Uruguay pada suku akhir akan ditugaskan untuk perlawanan di Stadium Luzhniki Moscow.

Beliau akan dibantu dua lagi pembantu pengadil dari Argentina Hernan Maidana dan Juan Pablo Belatti. Pengadil Belanda Bjorn Kuipers akan menjadi pegawai pertandingan yang turut dibantu seorang lagi pengadil dari Belanda Erwin Zeinstra.

Selain memberikan kemenangan buat Perancis, Pitana turut mengendalikan perlawanan di mana Croatia menewaskan Denmark pada aksi 16 terakhir menerusi penentuan penalti.

Satu lagi perlawanan yang diadil pengadil berusia 43 tahun itu di Russia adalah kemenangan Sweden ke atas Mexico 3-0 pada aksi peringkat kumpulan.

Sewaktu Piala Dunia 2014 Brazil, beliau mengadili empat perlawanan. Yang terakhir adalah kekalahan Perancis 0-1 kepada Jerman pada suku akhir.

Bagi perlawanan penentuan tempat ketiga di antara Belgium dan England di Saint Petersburg esok, FIFA memilih pengadil Iran Alireza Faghani.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Julai 2018 @ 7:15 PM