KALAMULLAH berusaha memperbaiki prestasi pada setiap perlawanan. FOTO Ihsan KDA FC
KALAMULLAH berusaha memperbaiki prestasi pada setiap perlawanan. FOTO Ihsan KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar : Penjaga gol utama Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Kalamullah Al-Hafiz berhasrat memberi fokus terbaiknya apabila turun menentang skuad serba lengkap Johor Darul Ta'zim (JDT) pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada malam esok.

Mempertahankan gawang dari percubaan bahaya pemain-pemain berkualiti skuad Harimau Selatan kendalian Esteban Solari menjadi peranan yang dilihat cukup mencabar buatnya sejak memulakan aksi bersama skuad Sang Kenari pada musim ini.

Justeru, hanya persiapan mental dan fizikal yang secukupnya sahaja mampu menjadi bekalan terbaik buat penjaga gol berusia 27 tahun yang juga berada dalam senarai penjaga gawang skuad Harimau Malaya bagi mencipta rekod yang diidamkan pada musim ini.

"Saya perlu terus bekerja keras dalam menerima saingan yang sengit di tempat lawan nanti kerana kita tahu JDT adalah sebuah pasukan yang hebat dan memiliki keupayaan menjaringkan gol dengan jumlah yang besar apabila berdepan mana-mana pasukan.

"Penguasaan melalui penyerang berkualiti mereka dalam beberapa perlawanan lalu menjadi perhatian semua pihak dan sudah pasti ianya juga turut menjadi cabaran yang perlu saya ambil untuk lebih bersedia, terus fokus dan memperbaiki setiap kekurangan yang ada bagi memastikan KDA FC mencapai satu keputusan yang positif dalam perlawanan ini.

"Disamping keyakinan tinggi yang saya perlukan dalam usaha menidakkan percubaan yang banyak dan laju dari penyerang mereka, saya juga perlu terus meningkatkan gandingan dan kerjasama yang baik dalam barisan pertahanan kami," katanya.

Kalamullah juga menganggap pertemuan menentang JDT kali ini adalah peluang untuknya meningkatkan lagi tahap prestasi dalam perjalanan liga yang masih berbaki 19 perlawanan hingga ke hujung musim.

"Saya berusaha memperbaiki prestasi pada setiap perlawanan yang saya dilalui hingga ke perlawanan menentang Penang FC Rabu lalu, dan seterusnya berdepan JDT kali ini adalah ruang yang terbaik untuk saya buktikan kemampuan terkini.

"Namun, saya perlu terus perbaiki lagi setiap kelemahan yang ada pada diri saya dan ini penting untuk mencapai tahap perkembangan terbaik yang saya sasarkan untuk musim ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2023 @ 11:38 AM