PEMAIN Terengganu FC, Mohd Hakimi Abdullah (jersi putih) mahu pastikan tiga mata pertama pasukannya, malam esok. FOTO ARKIB NSTP
PEMAIN Terengganu FC, Mohd Hakimi Abdullah (jersi putih) mahu pastikan tiga mata pertama pasukannya, malam esok. FOTO ARKIB NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemain tengah Terengganu FC (TFC), Hakimi Abdullah melihat kesilapan lalu sebagai pengajaran kepada pasukan beraksi lebih mantap bagi meraih tiga mata menentang Sarawak United FC, malam esok.

Selepas beberapa perlawanan awal tertangguh sebelum kalah dua kali apabila Liga Super disambung, anak buah Nafuzi Zain itu nyata enggan terus tercicir mata dan memperbaiki kedudukan di tangga tercorot liga.

Bagi Hakimi, setiap pemain sedar kesilapan dilakukan dalam dua perlawanan terdahulu tetapi prestasi mereka tampak lebih baik ketika menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) dan momentum itu perlu dibawa ke Kuching untuk menentang Sarawak United.

Menurutnya, skuad kendalian B Sathianathan itu masih kempunan kemenangan selepas tiga kali tewas dan satu seri menyaksikan pertembungan kali ini pasti sengit apabila kedua-dua pasukan mahu mencari kemenangan sulung.

"Ada sedikit tertekan apabila tewas dua kali, tetapi kami cuba berusaha lawan habis-habisan untuk cari kemenangan.

"Banyak kekurangan sebenarnya dalam perlawanan lepas dan ada kelemahan daripada diri sendiri, tapi itu bukan penghalang untuk kami terus melangkah ke depan.

"Sarawak United pun belum menang lagi setakat empat perlawanan, jadi dua-dua masih nak cari kemenangan pertama, sudah tentu ia akan menjadi perlawanan yang sukar," katanya.

Hakimi yang mula mencipta nama bersama Terengganu sejak musim lalu dengan lima jaringan enggan terlepas daripada mencuri perhatian dengan prestasi lebih cemerlang.

Apa yang pasti, ini baru sahaja permulaan untuk TFC meneruskan perlawanan akan datang dengan keputusan lebih baik.

"InsyaAllah saya akan cuba buat lebih baik pada tahun ini selepas berjaya menjaringkan lima gol pada tahun lalu.

"Jadi musim ini jika diberi peluang ingin menjaringkan lebih daripada itu, tetapi semua itu bergantung atas rezeki masing-masing.

"Tahun lalu memang agak baik untuk saya dan tahun ini sudah pasti saya mahu teruskan momentum itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 April 2022 @ 5:50 PM