KETUA Pegawai Eksekutif TFC Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh (tiga kiri) dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanudin Hilmi Mohamed@Harun (tiga kanan) bergambar selepas selesai majlis memeterai perjanjian penajaan di pejabat TFC, hari ini. FOTO TFC
KETUA Pegawai Eksekutif TFC Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh (tiga kiri) dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanudin Hilmi Mohamed@Harun (tiga kanan) bergambar selepas selesai majlis memeterai perjanjian penajaan di pejabat TFC, hari ini. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain sah menolak tawaran lanjutan kontrak daripada membimbing skuad Penyu itu dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Bagaimanapun jurulatih kelahiran Kelantan berusia 44 tahun itu tidak direhatkan, sebaliknya perlu menamatkan saingan Piala Malaysia yang berbaki tiga perlawanan lagi jika skuad itu mara ke pentas final musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh berkata, surat jawapan daripada jurulatih itu diterima pihak pengurusan petang semalam selepas tempoh 14 hari tamat akhir minggu lalu.

"Kita menerima surat dan jawapan daripada ketua jurulatih, Nafuzi pada jam 4.47 petang semalam, dalam surat itu beliau tidak bersetuju untuk menyambung tawaran yang kita tawarkan kepadanya pada musim depan.

"Bagaimanapun dalam perbincangan dengan Ahli Lembaga Pengarah TFC Sdn Bhd, tidak ada sebarang perubahan barisan kejurulatihan dalam saingan Piala Malaysia ini, beliau masih lagi menerima gaji daripada pasukan.

"Jadi tiada sebab beliau direhatkan, sebaliknya jurulatih itu perlu menamatkan saingan Piala Malaysia musim ini yang berbaki tiga perlawanan lagi," katanya ketika sidang media Majlis Memeterai Perjanjian bersama Kumpulan Terengganu Inc berjumlah RM1.6 juta di pejabat TFC Sdn Bhd hari ini yang turut dihadiri Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanudin Hilmi Mohamed@Harun.

Ketika ditanya mengenai perancangan pasukan musim depan selepas Nafuzi sah tidak bersama lagi skuad Penyu itu, Ab Rasid berkata pihaknya akan meneliti dan memilih jurulatih yang terbaik untuk mengendalikan pasukan pada musim depan.

"Kita akan mencari dan meneliti jurulatih yang bakal mengambil alih tugas berkenaan sekurang-kurangnya menyamai dan melebihi apa yang dicapai pada musim ini.

"Jadi sebelum liga bermula pada Februari tahun depan, kita akan umumkan jurulatih berkenaan bagi memastikan kesinambungan pasukan berada pada landasan terbaik dan pencapaian tidak lari jauh daripada apa yang dicapai sekarang.

"Lagipun selepas beliau (Nafuzi) menolak tawaran itu, banyak permohonan daripada dalam dan luar untuk menjadi jurulatih, jadi kita akan teliti dan nilai permohonan berkenaan yang bersesuaian.

"Pada masa sama pihak pengurusan mengucapkan terima kasih kepada beliau (Nafuzi) yang sudah menabur bakti selama tujuh tahun bermula dengan skuad Piala Presiden T-Team pada 2016 sebagai jurulatih sebelum menjadi penolong jurulatih skuad Terengganu dan seterusnya ketua jurulatih bermula akhir 2019 hingga musim ini.

"Jurulatih dan pemain pergi silih berganti itu asam garam dalam bola sepak, kami harapkan beliau terus berjaya menabur bakti di tempat baharu nanti," katanya.

Semalam Ab Rasid mengeluarkan kenyataan 'membela diri' selepas dibidas pegawainya itu pada Sabtu lalu yang mendakwa pihak pengurusan tidak profesional terutama berhubung penyerahan surat lanjutan kontrak yang diberi melalui Kitman di padang.

Ab Rasid dalam kenyataan balasnya mengakui kecewa dengan tindakan pegawainya itu yang membuat dakwaan terbuka bagaikan mahu menjatuhkan maruah dan profesional kelab itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2022 @ 4:13 PM