KEMAMPUAN Nafuzi membawa skuad Penyu sehingga ke pentas final Piala FA adalah satu pencapaian yang tinggi. FOTO ASYRAF HAMZAH
KEMAMPUAN Nafuzi membawa skuad Penyu sehingga ke pentas final Piala FA adalah satu pencapaian yang tinggi. FOTO ASYRAF HAMZAH
Zaid Salim


Kuala Nerus: Jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain dikatakan masih layak untuk membimbing pasukan berkenaan dengan prestasi semasa yang ditunjukkan dengan membawa pasukan ke pentas final Piala FA tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata ruang masih diberikan kepada pengurusan tertinggi TFC untuk membuat rundingan dengan Mohd Nafuzi Zain berhubung statusnya sebagai ketua jurulatih musim depan.

Beliau berkata, kemampuan jurulatih itu membawa skuad Penyu sehingga ke pentas final Piala FA adalah satu pencapaian yang tinggi.

"Kemampuan beliau (Nafuzi) membawa TFC ke final Piala FA adalah pencapaian yang tinggi selain turut berada di kelompok atasan Liga Super. Jadi tidak ada sebab (menukar jurulatih). Dia ada merit untuk terus kekal bersama pasukan," katanya ketika ditemui NSTP, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu kerusi panas jurulatih TFC musim depan yang dikatakan bakal ditinggalkan Nafuzi.

Jelasnya, ahli lembaga pengarah TFC hanya membuat keputusan berdasarkan cadangan daripada barisan pengurusan dan teknikal diketuai Ketua Pegawai Eksekutif, Ab Rasid Jusoh.

"Saya memahami isu ini malah mengikuti rapat kebimbangan penyokong namun beri peluang dan serahkan kepada pengurusan untuk memberi justifikasi sebelum membuat keputusan.

"Bila-bila sahaja pengurusan teknikal boleh kemukakan cadangan tetapi setakat ini kami selaku ahli lembaga pengarah belum menerima sebarang maklum balas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 September 2022 @ 6:33 PM