NAFUZI belum ditawarkan kontrak baharu. FOTO Nur Aisyah Mazalan
NAFUZI belum ditawarkan kontrak baharu. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kerusi panas pengendali Terengganu FC (TFC) bagi musim 2022 bakal terjawab tidak lama lagi.

Selain jurulatih musim ini, Nafuzi Zain, beberapa nama kini berada dalam radar pengurusan skuad itu untuk memegang jawatan berkenaan termasuk bekas pengendali T-Team, Tomislav Steinbruckner dan Rahmad Darmawan serta pembantu jurulatih Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Nenad Bacina.

Menurut sumber, pengurusan tertinggi Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd akan mengadakan mesyuarat khas bersama Ahli Lembaga Pengarah esok bagi menentukan calon terbaik yang bakal mengisi kekosongan jawatan itu.

"TFC menyasarkan untuk kekal beraksi dalam saingan Piala AFC musim depan sebagaimana musim ini, namun Petunjuk Prestasi Utama (KPI) tidak tercapai.

"Berikutan itu kedudukan jurulatih (Nafuzi) belum lagi selamat biarpun prestasi jurulatih kelahiran Kelantan itu meningkat.

"Beberapa nama termasuk Steinbruckner, Rahmad dan Bacina berada dalam radar pasukan untuk dinilai bagi mengisi jawatan itu, kita harap kemelut itu dapat diselesaikan dengan seberapa segera," kata sumber itu.

Tambah sumber itu lagi, pengurusan TFC Sdn Bhd berhasrat untuk menyelesaikan kemelut itu sebelum Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) mengadakan Kongres Tahunan pada 12 Disember ini.

"TFC juga dalam persiapan rapi untuk musim depan, jadi pemilihan jurulatih juga perlu segera dilakukan bagi memastikan impian untuk beraksi dalam saingan Piala AFC musim 2023 dan memperbaiki kedudukan dalam saingan Liga Super musim ini tercapai," katanya.

Berdasarkan perkembangan terkini, Steinbruckner sudah meletak jawatan bersama pasukannya, NK BSK dalam Divisyen 2 Croatia dan bersedia untuk kembali ke Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 5:39 PM