KELAB Penyokong Bolasepak Terengganu harap TFC, Nafuzi berdamai demi pasukan. FOTO TFC
KELAB Penyokong Bolasepak Terengganu harap TFC, Nafuzi berdamai demi pasukan. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu FC meletakkan harapan yang tinggi agar 'ribut' yang berlaku antara pihak pengurusan Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd dengan jurulatih, Nafuzi Zain tidak berpanjangan.

Mereka juga turut mengharapkan kedua-dua pihak dapat segera berdamai demi pasukan lebih-lebih lagi skuad Penyu itu kini berada pada landasan terbaik untuk mengulangi pencapaian mara ke pentas final Piala Malaysia sebagaimana musim 2018.

Presiden kelab berkenaan, Mohd Isa Che Ariffin berkata, jika kedua-dua pihak berkenaan terus bercakaran, yang ruginya adalah pasukan yang kini bakal mengharungi perlawanan separuh akhir pertama pada malam ini dan separuh akhir kedua pada 21 November di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak.

"Buang yang keruh ambil yang jernih, kedua-dua pihak perlu berdamai demi pasukan apatah lagi skuad TFC bakal mengharungi perlawanan penting untuk menentukan tiket ke final.

"Kami tidak mahu kemelut yang membabitkan kedua-dua pihak itu berlarutan di padang kerana sedikit sebanyak boleh menjejaskan prestasi pasukan.

"Buat peminat, berilah sokongan padu kepada pasukan, lupakan kemelut itu, usah menghangatkan lagi isu berkenaan dalam mana-mana media sosial kerana kita mahu pasukan layak beraksi di final sekali gus mampu mengubat duka gagal muncul juara Piala FA musim ini.

"Buat Nafuzi, walaupun tugasan terakhirnya sebelum meninggalkan pasukan, kami harapkan beliau dapat melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin dalam baki perlawanan, lupakan masalah di luar padang itu, sebagai penyokong kami setia bersama pasukan," katanya ketika dihubungi.

Terdahulu Nafuzi meluahkan nada kecewa dan terkilan secara terbuka kepada pihak pengurusan yang didakwanya tidak profesional terutama berhubung penyerahan surat lanjutan tawaran kontrak musim depan yang diserahkan oleh Kitman di padang dan bukannya di pejabat.

Selepas reputasinya tercalar dengan dakwaan yang dilontarkan oleh jurulatih kelahiran Kelantan itu, pihak pengurusan TFC Sdn Bhd tampil 'membela diri' selain meluahkan kekecewaan terhadap pegawainya itu.

Semalam jurulatih berusia 44 tahun itu sudah mengucapkan 'selamat tinggal' kepada pasukan itu selepas menolak tawaran lanjutan kontrak musim depan yang ditawarkan pihak pengurusan, bagaimanapun beliau tidak direhatkan, sebaliknya diberi tanggungjawab untuk menamatkan saingan Piala Malaysia musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2022 @ 6:52 PM