NAFUZI akan menjawab surat tawaran lanjutan kontrak selepas saingan Piala Malaysia berakhir. FOTO GHAZALI KORI
NAFUZI akan menjawab surat tawaran lanjutan kontrak selepas saingan Piala Malaysia berakhir. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain belum bersedia untuk membalas surat tawaran mengenai lanjutan kontrak membimbing skuad itu musim depan, walaupun tempoh akhir hanya berbaki sehari sahaja untuk berbuat demikian.

Jurulatih itu menjelaskan, beliau akan mengumumkannya selepas berakhir saingan Piala Malaysia musim ini kerana fokusnya kini untuk membantu TFC mara ke pentas final trofi berprestij itu.

"Selepas berakhir saingan Piala Malaysia musim ini baharu saya jawab dan beritahu keputusan mengenai surat tawaran lanjutan kontrak itu.

"Ini kerana saya mahu fokus 100 peratus kepada pasukan dalam saingan Piala Malaysia terlebih dahulu untuk membantu TFC mara ke final," katanya ringkas ketika ditemui ketika sesi latihan di Kompleks Sukan Negeri Terengganu (KSNT), di Gong Badak petang semalam.

Terdahulu, Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd menyerahkan surat tawaran lanjutan kontrak selama setahun kepada Nafuzi selepas beliau membantu pasukan mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) selepas layak beraksi di pentas Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) musim depan selain muncul naib juara Piala FA musim ini serta menamatkan saingan Liga Super di kedudukan kedua.

Surat itu perlu dijawab dalam tempoh 14 hari dan akan berakhir pada 11 November 2022, namun dengan tempoh berbaki sehari sahaja lagi, maklumat diperoleh memaklumkan jurulatih berusia 44 tahun itu belum menjawab surat tawaran lanjutan kontrak itu.

Ia sekali gus menimbulkan persoalan sama ada jurulatih itu menerima atau menolak tawaran berkenaan.

Sebelum ini peminat setia skuad Penyu gembira selepas Ahli Lembaga Pengarah TFC Sdn Bhd mengumumkan khidmat Nafuzi masih diperlukan untuk membimbing pasukan TFC musim depan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TFC Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh ketika ditanya berhubung situasi itu enggan mengulas, sebaliknya mahu menumpukan saingan Piala Malaysia.

"Kita teruskan fokus dalam saingan Piala Malaysia khususnya di peringkat kedua suku akhir kedua yang akan berlangsung di tempat sendiri pada Sabtu ini.

"Kita perlu mengatur strategi baharu setelah penjaga gol, Suhaimi Husin digantung secara automatik satu perlawanan dan mengembalikan semula kecergasan Rahadiazli Rahalim dan Shahrul Nizam Ros Hasni setelah masing-masing baharu baik daripada demam dan digantung satu perlawanan," katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2022 @ 3:04 PM