HABIB akui pasukannya berada pada tahap prestasi terbaik berdepan KL City FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur malam esok. FOTO TFC
HABIB akui pasukannya berada pada tahap prestasi terbaik berdepan KL City FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur malam esok. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Arkitek Terengganu FC (TFC), Habib Haroon menjelaskan kejayaan menumpaskan Sri Pahang FC dengan agregat 9-3 pada aksi pusingan 16 menambah lagi motivasinya untuk berdepan KL City FC di peringkat suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, malam esok.

Pemain kelahiran Bahrain berusia 22 tahun itu berkata, dia dan rakan sepasukannya juga sudah bersedia sepenuhnya untuk berdepan dengan skuad kendalian Bojan Hodak walaupun sedar juara bertahan dan naib juara Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) itu mempunyai kualitinya yang tersendiri.

Bagaimanapun pemain yang memakai jersi nombor 10 itu mengingatkan dirinya dan rakan sepasukan agar berwaspada dengan taktikal lawan agar tidak 'dijerat' lebih-lebih lagi beraksi di tempat mereka.

"Setiap perlawanan kami anggap ia seperti aksi final, jadi kami perlu fokus satu persatu termasuk aksi suku akhir pertama pada Ahad ini.

"Kita tahu menentang juara bertahan bukan tugas mudah walaupun kami menang dalam kedua-dua perlawanan dengan kemenangan 2-0 dan 2-1 dalam Liga Super, tapi kita perlu hormati mereka.

"Jadi saya harap rakan sepasukan dapat beraksi seperti biasa bagi memastikan kami mampu membawa bekalan sebelum aksi timbal balik di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 12 November ini," katanya yang tidak risau walaupun tanpa kelibat pertahanan, Mohamad Shahrul Nizam Ros Hasni yang digantung satu perlawanan selepas menerima kad merah ketika bertemu Sri Pahang FC Selasa lalu.

Ketika tanya destinasinya musim depan, bekas pemain kelab Al-Khaldiya Sports Club dalam Liga Bahrain itu akui masih sayangkan pasukan TFC.

"Walaupun mendapat tawaran daripada pasukan lain dalam Liga Malaysia dan luar negara, tapi saya tidak mahu memikirkannya sebaliknya mahu fokus untuk saingan Piala Malaysia ini terlebih dahulu.

"Sejujurnya saya masih sayangkan pasukan ini (TFC), lagipun

kami akan berjuang untuk Piala AFC musim depan, insya-Allah untuk tahun depan jika tiada masalah saya kekal bersama TFC, tapi saya belum menandatangani kontrak lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2022 @ 6:52 PM