PEMAIN TFC berdoa sebelum menjalani latihan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, petang semalam. -FOTO Ghazali Kori
PEMAIN TFC berdoa sebelum menjalani latihan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, petang semalam. -FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pengendali Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner menuntut anak buahnya agar fokus sehingga minit terakhir perlawanan berdepan Selangor FC pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam esok.

Jelas jurulatih kelahiran Croatia itu, walaupun aksi berkenaan dijangka sukar, namun misi mencari bekalan selesa tetap menjadi sasaran utama sebelum aksi kedua di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), pada 24 September ini.

Malah tegasnya, perlawanan itu juga bakal menjadi pemangkin semangat buat pemain yang bakal berdepan dengan juara Liga Australia musim lalu, Central Coast Mariners pada aksi pertama Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) 20 September ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

"Kemenangan ke atas Selangor FC malam esok bakal melonjakkan lagi motivasi pemain untuk menghadapi kelab Australia dalam saingan Piala AFC.

"Namun kami tahu Selangor FC pasukan yang bagus dan ramai pemain kebangsaan, malah aksi Liga Super pusingan pertama sebelum ini, kami tewas 1-5 kepada pasukan bimbingan Tan Cheng Hoe itu.

"Tapi itu cerita lama, lagipun pada perlawanan itu pemain kami banyak membuat kesilapan individu sehingga kami tewas dengan jumlah jaringan yang besar, tapi kini pasukan sudah berubah dengan banyak peningkatan daripada satu perlawanan ke satu perlawanan," katanya.

Ketika ditanya adakah beliau bakal menyenaraikan empat pemain yang menggalas tugas pasukan Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan pada aksi kelayakan Piala Asia di Thailand baru-baru ini, jurulatih yang lebih mesra dipanggil 'Tommy' itu menjelaskan akan melihat perkembangan mereka terlebih dahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2023 @ 1:27 PM