JDT tidak dapat menurunkan Afiq (kiri) selepas dilayangkan kad merah pada perlawanan pertama suku akhir, Sabtu lalu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
JDT tidak dapat menurunkan Afiq (kiri) selepas dilayangkan kad merah pada perlawanan pertama suku akhir, Sabtu lalu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Kemenangan 3-0 diraih Johor Darul Ta'zim (JDT) ke atas Kelantan FC pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Kota Bharu, Sabtu lalu boleh diibaratkan pasukan itu sudah sebelah kaki ke separuh akhir.

Tapi skuad Harimau Selatan dibimbing Hector Bidoglio tidak boleh terlalu selesa memandangkan ada baki 90 minit perlawanan yang harus dilangsaikan di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok, untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir.

Malah, Bidoglio pada sidang media baru-baru ini menegaskan belum berpuas hati dengan keseluruhan permainan pada aksi pertama suku akhir dan akan berlatih bersungguh-sungguh bagi memastikan momentum kemenangan diteruskan.

"Ada lagi 90 minit perlawanan dan tugas masih belum selesai. Malah, kami menganalisis rakaman video bagi memantapkan lagi setiap posisi supaya corak permainan yang bakal ditampilkan lebih tersusun," kata Bidoglio.

Pengendali kelahiran Argentina itu bakal membuat rombakan kecil di posisi tengah selepas kelibat Afiq Fazail tidak dapat diturunkan selepas dilayangkan kad merah.

Pastinya Natxo Insa, Nazmi Faiz Mansor dan Safiq Rahim bakal menjadi pilihan untuk diturunkan dalam kesebelasan utama.

Malah, Bidoglio perlu mengingatkan Leandro Velazquez dan Shio Hong Wan supaya tidak mengutip kad kuning lagi sekiranya diturunkan, selepas kedua-duanya dilayangkan kad kuning pada aksi pertama suku akhir.

Bidoglio harus berwaspada kerana skuad The Red Warriors (TRW) yang dibimbing Rezal Zambery Yahya akan cuba mengintai peluang untuk tampil dengan corak permainan terbuka bagi memburu gol awal.

Ini kerana Kelantan FC yang ketinggalan 0-3 akan turun tanpa menghiraukan kekalahan dan akan bermain habis-habisan kerama tiada apa yang merugikan mereka.

JDT semestinya akan kekal mempertaruhkan Bergson Da Silva bagi memburu jaringan selain kepercayaan terhadap penyerang tempatan, Syafiq Ahmad.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2022 @ 1:00 PM