ARIF Aiman (kiri) dicabar pertahanan Sabah  FC Gerald pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia 2022. FOTO Bernama
ARIF Aiman (kiri) dicabar pertahanan Sabah FC Gerald pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia 2022. FOTO Bernama
Rizar Mohd Noor


Iskandar PuterI: Johor Darul Ta'zim (JDT) melangkah ke final dua musim berturut-turut selepas menewaskan Sabah FC 3-1 pada aksi timbal balik separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.

Dengan kemenangan agregat 4-1, JDT selaku naib juara musim lalu akan bertemu sama ada Selangor FC atau Terengganu FC pada aksi final yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini apabila kedua-dua pasukan itu membuat perhitungan di Stadium Sultan Mizan, Gong Badak, malam esok.

Tanpa kelibat Feroz Baharuddin dan Leandro Velazquez yang digantung satu perlawanan, pengendali JDT, Hector Bidoglio menyenaraikan Jordi Amat dan Nazmi Faiz Mansor bagi mengimbangi kekuatan pasukan itu mengharungi 90 minit perlawanan.

Sebaik babak pertama bermula, JDT yang membawa bekalan kemenangan 1-0 ke atas skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee, tempoh hari mula mengasak ke kubu skuad The Rhinos dan hampir mencipta jaringan seawal minit kelima apabila Bergson Da Silva berjaya melepas kawalan pertahanan pelawat tapi penjaga gol, Damien Lim sempat menghalang bola rembatan Bergson.

Walaupun bertali arus mengasak ke kubu skuad The Rhinos namun masih belum mampu merungkai kebuntuan jaringan tatkala pasukan pelawat bermain secara berkampung di kawasan sendiri menyebabkan barisan serangan JDT sukar mencari ruang untuk menjaringkan gol.

Memasuki minit ke-35, usaha berterusan skuad Harimau Selatan untuk memecah kebuntuan jaringan membuahkan hasil selepas bola sepakan lintang Corbin Ong tepat kepada Bergson yang tidak di kawal mudah menanduk bola masuk menewaskan Damien.

Anak didik Bidoglio menambah derita skuad The Rhinos pada minit ke-41 selepas bola hantaran Nazmi Faiz ditampan kemas Arif Aiman Hanapi yang berada di dalam kotak penalti dan membiarkan Fernando Forestieri merembat bola kencang menewaskan Damien untuk meletak JDT selesa dengan kedudukan 2-0.

Bersambung babak kedua, skuad The Rhinos berjaya merapatkan jurang gol pada minit ke-47 apabila bola rembatan dari jarak 25 meter Park Tae-su gagal ditangkap kemas penjaga gol, Farizal Marlias dan kesempatan itu diguna sepenuhnya Taiki Kagayama yang merembat bola leret menewaskan Farizal untuk kedudukan 1-2.

Ketika aksi berbaki satu minit untuk ditamatkan JDT meraih sepakan penalti selepas pemain gantian Akhyar Rashid dikasari Gerald Gadit di dalam kotak penalti dan pengadil Nazmi Nasaruddin tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti.

Bagaimanapun, pemain gantian Safawi Rasid gagal melakukan penyudah selepas merembat bola melambung tinggi namun ketika aksi memasuki minit kecederaan pemain gantian Syafiq Ahmad menembus kehampaan itu apabila menjaringkan gol bagi memastikan kemenangan 3-1 memihak skuad Harimau Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2022 @ 10:28 PM