PENYERANG JDT, Fernando Forestieri melakukan percubaan ke gawang Kelantan FC. FOTO Johor Southern Tigers
PENYERANG JDT, Fernando Forestieri melakukan percubaan ke gawang Kelantan FC. FOTO Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor


Iskandar Puteri: Johor Darul Ta'zim (JDT) layak ke separuh akhir apabila `berkenduri gol' selepas membelasah Kelantan FC 5-0 dan menang secara agregat 8-0 pada aksi kedua suku akhir Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.

Namun JDT yang meraih kemenangan bergaya perlu menunggu lawan mereka, Selasa ini sama ada Sabah FC atau Kuching City FC selepas perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan itu bermula lewat akibat faktor cuaca.

Pada pertembungan itu, Bidoglio membuat rombakan dalam kesebelasan utama apabila mengetepikan Shahrul Saad yang digantung satu perlawanan malah Leandro Velazquez dan Feroz Baharudin juga tidak tersenarai kerana mengutip satu kad kuning dan kedua-dua pemain itu bakal diturunkan pada aksi separuh akhir pertama nanti.

Sebaik babak pertama bermula, anak didik Bidoglio begitu rakus mengasak ke kubu skuad kendalian Rezal Zambery Yahya yang terpaksa berhempas pulas mengekang gerakan berbahaya barisan serangan skuad Harimau Selatan.

Benteng Kelantan FC akhirnya roboh pada minit ke-10 selepas Bergson Da Silva bijak memperdaya dua pertahanan pelawat dan merembat leret tepat ke penjuru kanan gawang menewaskan penjaga gol, Ahmad Solehin Mamat.

Skuad The Red Warriors yang ketinggalan dengan defisit 0-4 secara agregat cuba memburu gol apabila gerakan dimulakan Ghaffat Abdul Rahman Yang mengumpan bola kepada Felipe Herera melakukan rembatan leret tapi penjaga gol, Farizal Marlias sempat menghalang dengan menggunakan kaki.

Skuad Harimau Selatan yang menguasai keseluruhan permainan menambah derita anak didik Rezal Zambery pada minit ke-34 selepas sepakan percuma dari jarak 30 meter tepat ke penjuru kanan gawang menyaksikan Ahmad Solehin tergamam melihat bola menerjah jaring.

Bergson mencetak gol kedua peribadi selang tiga minit kemudian apabila merembat bola leret ke penjuru kiri gol selepas menerima bola lorongan Akhyar Rashid untuk meletak kedudukan 6-0 secara agregat.

Kelantan FC terus merana dengan corak permainan tersusun JDT apabila gawang mereka dirobek lagi pada minit ke-40 dan Akhyar menjadi pencetus gerakan apabila melambung bola tepat kepada Syahmi Safari yang merembat bola menewaskan Ahmad Solehin.

Kelantan FC terus menjadi mangsa amukan JDT apabila kerapuhan benteng pelawat mudah diatasi Nazmi Faiz Mansor yang mengambil kesempatan daripada kelekaan anak didik Rezal Zambery untuk menjaringkan gol pada minit akhir babak pertama.

Bersambung babak kedua, JDT hampir menambah jaringan pada minit ke-54 apabila pemain pertahanan Jordi Amat bertindak merampas bola dari pemain Kelantan FC sempat melencongkan bola tapi hanya melewati palang gol.

Skuad Harimau Selatan yang selesa dengan jaringan besar pada perlawanan itu tampak mengendurkan asakan sepanjang 45 minit babak kedua dan lebih gemar menguasai bola bagi mengelak pasukan pelawat bertindak mencuri peluang dan kedudukan 5-0 yang memihak tuan rumah kekal sehingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2022 @ 10:34 PM