SOUTHGATE dan Harry Maguire selepas tamat aksi Liga Negara-Negara menentang Jerman bulan lalu.
SOUTHGATE dan Harry Maguire selepas tamat aksi Liga Negara-Negara menentang Jerman bulan lalu.
Agensi

London: Pengurus England, Gareth Southgate bakal menerima bonus £4 juta (RM21 juta) jika membawa Three Lions muncul juara Piala Dunia.

Jumlah itu tiga kali ganda daripada £1.5j (RM7.88j) yang dijanjikan pada Piala Dunia 2018.

Southgate, 52, sudah pun mengaut £500,000 (RM2.62j) selepas layak ke kejohanan itu yang bakal bermula lima minggu lagi.

Aksi pertama England dalam Kumpulan B akan menentang Iran pada 21 November.

Menurut sumber: "Gareth ditawarkan bonus untuk setiap peringkat perlawanan Piala Dunia dan menjadi lebih lumayan jika dia dapat membawa pulang piala itu.

"Insentif itu perkara biasa kepada pemain bola sepak dan pengurusan serta pengiktirafan kepada kemuncak karier Gareth di peringkat antarabangsa.

"Tiada yang lebih menggembirakan beliau selain memenangi trofi utama untuk negara.

"Motivasinya untuk memastikan dia dan pasukan melakukan yang terbaik untuk negara. Sebarang imbuhan hanyalah kemudian daripada itu."

"Wang bukanlah keutamaan Southgate tetapi dia sangat mengambil berat krisis kos kehidupan."

Ketika Covid, Southgate secara suka rela menerima pemotongan 30 peratus gaji dan enggan mendapat kenaikan gaji asas ketika ditawarkan kontrak baharu tiga tahun oleh FA pada November lalu.

Kontraknya sekarang bernilai £6 juta (RM31.54j) setahun yang berakhir 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2022 @ 6:26 PM