SOUTHGATE tenang walaupun dikritik. FOTO AFP
SOUTHGATE tenang walaupun dikritik. FOTO AFP
Reuters

London: Gareth Southgate berkata beliau tidak akan melepaskan jawatannya sebagai pengurus England walaupun dikritik selepas pasukannya masih belum mencatat kemenangan dalam kempen Liga Negara-Negara.

England berada di tangga terbawah Liga A Kumpulan 3 Liga Negara-Negara dengan hanya satu mata selepas tumpas 0-1 kepada Hungary dan seri 1-1 menentang Jerman.

Southgate, yang membawa England mara ke separuh akhir Piala Dunia 2018 dan final Euro 2021, menandatangani kontrak baru November tahun lalu bagi membolehkannya kekal sehinghga hujung 2024.

"Saya tidak akan melepaskan jawatan saya tetapi saya fikir saya boleh melakukan kerja yang baik untuk pasukan, dan saya fikir kami telah melakukan kerja yang baik untuk pasukan.

"Jika anda melihat ke belakang, saya selalu mengatakannya. Saya tidak akan berada di sini selama-lamanya bukan? Akan ada seorang lagi pengurus England.

"Perkara utamanya ialah bagaimana pemain. Adakah saya masih merasakan pemain memberikan segala-galanya dan bertindak balas terhadap apa yang kami lakukan? Ya," kata Southgate.

Southgate sering dikritik kerana terlalu berhati-hati, dengan pemerhati dan peminat menggesanya untuk menurunkan Trent Alexander-Arnold dari Liverpool dan Jack Grealish (Manchester City) dengan lebih kerap.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Jun 2022 @ 9:06 PM