ARTETA (kiri) puas selepas pasukan bimbingannya berjaya mengalahkan Spurs 3-1. FOTO Reuters
ARTETA (kiri) puas selepas pasukan bimbingannya berjaya mengalahkan Spurs 3-1. FOTO Reuters
AFP

London: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta ternyata teruja dengan persembahan anak buahnya selepas berjaya menumbangkan seteru setempat London utara, Tottenham 3-1 di Stadium Emirates.

Arteta mengakui bahawa ia satu fenomena apabila pemainnya memberikan persembahan bertenaga seterusnya mengekalkan mereka di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL).

"Ia satu fenomena. Kami berjaya melepasi halangan ini dan mencipta semangat luar biasa di dalam stadium. Kami berhak untuk mencatat kemenangan," kata Arteta.

Kepuasan Arteta terpancar selepas mereka bukan sahaja berjaya mengalahkan seteru setempat, malah turut menamatkan rekod 13 perlawanan tanpa kalah Tottenham.

Skuad kendalian Arteta merakam tujuh kemenangan daripada lapan perlawanan, meletakkan mereka di puncak liga dengan kelebihan empat mata.

Thomas Partey meletakkan The Gunners di depan pada babak pertama aksi tetangga London Utara di Emirates itu.

Harry Kane menyamakan kedudukan menerusi penalti tetapi kesilapan penjaga gol Spurs, Hugo Lloris selepas rehat membolehkan Gabriel Jesus kembali meletakkan Arsenal di depan.

Pertahanan Tottenham, Emerson Royal dibuang padang kerana mengasari Gabriel Martinelli sebelum jaringan Granit Xhaka memastikan Arsenal menebus kekalahan 0-3 musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2022 @ 2:35 PM