SAKA meraikan jaringannya. FOTO EPA
SAKA meraikan jaringannya. FOTO EPA
AFP

London: Mikel Arteta memuji 'karakter' Arsenal yang kembali ke puncak Liga Perdana selepas membenam Liverpool 3-2, hari ini dengan Bukayo Saka meledak dua gol.

Skuad bimbingan Arteta kini dilihat sebagai pencabar utama kejuaraan liga dan kejayaan terbaru di Stadium Emirates adalah satu lagi detik yang cukup penting.

The Gunners mendahului pada minit pertama menerusi Gabriel Martinelli sebelum Darwin Nunez menyamakan kedudukan untuk Liverpool.

Saka meletakkan Arsenal kembali di hadapan pada lewat separuh masa pertama dan walaupun Roberto Firmino menyamakan kedudukan selepas rehat, sepakan penalti yang disempurnakan Saka mengesahkan kemenangan kelapan Arsenal daripada sembilan perlawanan liga mereka.

Kemenangan 3-1 ke atas Tottenham pada hujung minggu lalu menambah keyakinan yang semakin meningkat bahawa Arteta berjaya membina pasukan yang mantap.

"Ia sangat hebat, terutamanya cara kami bermain dan suasana yang kami cetuskan. Kami berhak menang.

"Liverpool sangat cekap dalam cara mereka memanfaatkan peluang yang diperolehi tetapi kami menunjukkan ketenangan dan perwatakan tersendiri di saat-saat sukar untuk mengatasi mereka.

"Kami perlu kekal dengan prestasi seperti ini. Cara pemain beraksi dalam satu pasukan sangat menggembirakan saya.

"Pasukan menangani segala halangan dengan penuh matang dan tenang," kata Arteta selepas Arsenal mendahului satu mata daripada Manchester City di tempat kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2022 @ 7:44 AM