MARTIN Odegaard (tengah) meraikan jaringannya bersama Gabriel Jesus. FOTO Reuters
MARTIN Odegaard (tengah) meraikan jaringannya bersama Gabriel Jesus. FOTO Reuters
AFP

Bournemouth: Mikel Arteta berkata Arsenal berazam untuk menebus kekecewaan pada hujung musim lalu selepas mendaki puncak Liga Perdana Inggeris dengan kemenangan 3-0 di Bournemouth, hari ini.

Kapten yang baru dilantik, Martin Odegaard menjaringkan dua gol dalam masa 11 minit dan jaringan menakjubkan William Saliba pada separuh masa kedua meneruskan permulaan sempurna Arsenal untuk kempen baharu selepas tiga perlawanan.

Pada peringkat yang sama musim lalu, Arsenal tanpa sebarang mata sekali gus merekodkan permulaan terburuk dalam tempoh 67 tahun.

Namun, lima kekalahan dalam 10 perlawanan terakhir mereka menghancurkan impian untuk kembali beraksi di Liga Juara-Juara selepas seteru Utara London, Tottenham merampas kedudukan tempat empat teratas.

"Dalam kehidupan pengalaman sukar menjadikan anda lebih kuat dan membuatkan anda belajar lebih daripada saat gembira.

"Saat itu amat menyakitkan dan kami tidak mahu melaluinya lagi," kata Arteta.

Ketibaan Gabriel Jesus dan Oleksandr Zinchenko dari Manchester City setakat ini membantu Arsenal mencapai tahap baharu, manakala Saliba mula serasi di Liga Perdana selepas tiga musim dipinjamkan di Perancis.

Jesus sekali lagi menjadi nadi serangan Arsenal, walaupun bekas penyerang City itu gagal menambah koleksi dua golnya untuk kelab musim ini.

"Kemenangan menjadikan kehidupan berbeza sama sekali. Suasana ketika ini serta semangat berpasukan sangat luar biasa," kata Arteta.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2022 @ 8:01 AM