EMILE Smith Rowe antara tonggak penting Arsenal musim ini. FOTO Reuters
EMILE Smith Rowe antara tonggak penting Arsenal musim ini. FOTO Reuters
AFP

London: Arsenal dan Tottenham akan memperjuangkan lebih daripada hak untuk bermegah sebagai pasukan terbaik utara London esok dengan masing-masing berhasrat untuk membuktikan mereka adalah pencabar serius kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Ketika aksi liga utama England itu kembali selepas rehat perlawanan antarabangsa, Arsenal sekarang ini menduduki tangga teratas berikutan permulaan yang tidak diduga, manakala Tottenham yang tidak tewas hanya ketinggalan satu mata di tempat ketiga.

Dengan Liverpool, Chelsea dan Manchester United masih memulihkan keseimbangan mereka selepas permulaan musim yang bergelora, laluan dibuka untuk kelab utara London itu untuk memburu kejuaraan.

Jika pencabar kejuaraan dijangka muncul dari kedua-dua kedua-dua pasukan setempat itu, Tottenham menjadi calon yang lebih layak selepas merampas kedudukan empat teratas dengan cara dramatik musim lalu.

Arsenal berada di kedudukan paling terbaik untuk perebutan layak ke Liga Juara-Juara apabila mereka mendahului empat mata daripada Tottenham dengan hanya berbaki tiga perlawanan.

Tetapi skuad kendalian Mikel Arteta melepaskan peluang mereka apabila kekalahan 0-3 di Tottenham disusuli dengan tewas menentang Newcastle, memusnahkan harapan mereka untuk kembali ke Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak musim 2016/17.

Walaupun peningkatan Tottenham bergantung kepada kepintaran pengurusan Antonio Conte, boleh dikatakan Arteta melakukan kerja yang lebih mengagumkan pada musim ini.

Bekas pengendali Arsenal, Arsene Wenger, percaya The Gunners sudah layak untuk dilabel sebagai pencabar kejuaraan liga musim ini.

"Saya boleh katakan mereka mempunyai peluang terbaik kerana saya tidak melihat pasukan lain yang terlalu mendominasi.

"Saya percaya mereka mempunyai peluang terbaik untuk melakukannya musim ini," kata Wenger.

Bagaimanapun, satu-satunya perlawanan Arsenal membabitkan musuh empat teratas musim ini berakhir dengan kekalahan 1-3 kepada Manchester United.

Arteta memerlukan kemenangan esok bagi membuktikan Arsenal bermula dengan baik buat kali pertama sejak 2004.

Berdasarkan rekod ia memihak kepada Arsenal, dengan 11 kunjungan yang dilakukan Tottenham ke Stadium Emirates berakhir tanpa sebarang kemenangan sejak kali terakhir pada 2010.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2022 @ 1:24 PM